Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Bachok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran palsu menggunakan gambar laporan berita yang memaparkan nama dan logo Buletin Utama.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Abdullah Aqili Romeli, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memuat naik hantaran bersifat palsu menerusi aplikasi Threads menggunakan akaun @gilieybrembo kira-kira jam 12 tengah hari pada 31 Mac lalu dengan niat untuk mengganggu mana-mana individu.
Hantaran tersebut memaparkan poster yang mendakwa harga petrol RON95, RON97 dan diesel meningkat secara mendadak bermula 1 April, dengan menggunakan nama serta logo Buletin Utama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Mahkamah juga boleh mengenakan denda tambahan sehingga RM5,000 sehari bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang difikirkan sesuai.
Bagaimanapun, tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan bekerja sendiri sebagai mekanik dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan bergantung kepada pelanggan serta mempunyai seorang anak angkat.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan telah menerima keputusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kertas siasatan kes penyebaran berita palsu berkaitan dakwaan kenaikan harga bahan api susulan krisis di Asia Barat.
Sumber: Utusan
