Malaysia, China Setuju Cadangan Sambung ECRL Ke Rantau Panjang

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi dilanjutkan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan, yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan China bersetuju dengan cadangan penyambungan jajaran ECRL berkenaan.

Cadangan itu membabitkan penyambungan laluan sepanjang kira-kira 25 kilometer dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.

Menurut Anwar, perkara tersebut turut dibincangkan bersama Perdana Menteri Thailand dan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan akan dibuat susulan mesyuarat Jemaah Menteri.

“Perkara ini juga telah saya bincangkan dengan Perdana Menteri Thailand. Inisiatif ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan bagi kawasan yang sebelum ini terpinggir daripada arus pembangunan perdana,” katanya.

Berpotensi Hubungkan Malaysia-Thailand

Jika direalisasikan, sambungan ECRL ke Rantau Panjang berpotensi memperkukuh hubungan rel rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Ini kerana Rantau Panjang mempunyai rangkaian rel sedia ada yang menghubungkannya dengan Sungai Golok di Thailand.

Penyambungan tersebut juga berpotensi meningkatkan pergerakan penumpang dan kargo antara kedua-dua negara.

Pada masa sama, hubungan rel berkenaan dijangka memberi dimensi baharu kepada aktiviti ekonomi di kawasan Pantai Timur.

ECRL Sepanjang 640 Kilometer

Ketika ini, ECRL menghubungkan Kota Bharu di Kelantan dengan Pelabuhan Klang di Selangor menerusi jajaran kira-kira 640 kilometer.

Sekiranya cadangan penyambungan ke Rantau Panjang direalisasikan, laluan berkenaan bukan sahaja menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung.

Ia juga berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian rel rentas sempadan Malaysia-Thailand.

Perbincangan lanjut mengenai cadangan tersebut dijangka dibuat bersama pihak berkepentingan selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Sumber: Berita RTM

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!