Empat Pengedar Dadah Bergelut Dengan Polis Sebelum Dicekup di Jelawat

Cubaan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah untuk melarikan diri daripada polis tidak berhasil apabila mereka berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dalam satu serbuan di Kampung Alor Pulai, Jelawat, Bachok.

Menurut laporan Sinar Harian, serbuan kira-kira jam 6.30 petang pada Selasa itu dijalankan ketika kesemua suspek berada di dalam sebuah Proton Saga FLX yang diparkir di hadapan sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kesemua suspek cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Mereka cuba melarikan diri tetapi dapat ditahan. Hasil pemeriksaan menemukan sebuah beg silang mengandungi tiub straw berisi serbuk putih disyaki dadah dengan anggaran berat 0.43 gram.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemui balutan akhbar mengandungi enam botol berisi serbuk putih disyaki dadah seberat 27.46 gram,” katanya.

Menurut beliau, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,231.20.

Maklumat yang dikongsikan Polis Kontinjen Kelantan memaklumkan dadah yang dirampas dipercayai heroin dengan jumlah keseluruhan 27.89 gram, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiga Positif Morfin, Seorang Positif Amphetamine

Mohamad Ismail berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis morfin, manakala seorang lagi positif amphetamine.

Semakan lanjut turut mendapati kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Serbuan Kedua Rampas 596 Pil Kuda

Dalam operasi berasingan pada kira-kira jam 10.30 malam hari yang sama, polis menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Rekang, Repek.

Seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan selepas pemeriksaan menemukan 596 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM5,960.

Ujian saringan awal mendapati suspek positif amphetamine, manakala semakan rekod menunjukkan dia mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

Kesemua lima suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Mohamad Ismail berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah dan orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha memerangi jenayah tersebut.

Sumber: Sinar Harian, Polis Kontinjen Kelantan

TERKINI

Proton Saga Terbakar Di Persimpangan Lampu Isyarat Lapangan Terbang Pengkalan Chepa
|
Sebuah kereta Proton Saga berwarna putih terbakar di persimpangan…
Empat Pengedar Dadah Bergelut Dengan Polis Sebelum Dicekup di Jelawat
|
Cubaan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran…
Baru Sehari Dapat Sijil Kejuruteraan, Pemuda Maut Dilanggar Warga Asing
|
Perjalanan pulang seorang lelaki dari tempat kerja berakhir dengan…
PDRM Kelantan Catat Penurunan Jenayah Indeks Dan Kes Narkotik
|
Kadar jenayah indeks di Kelantan terus menunjukkan trend positif…
Polis Johor Rampas Methamphetamine RM3.04 Juta, Remaja 16 Tahun Antara Lapan Ditahan
|
Seorang remaja berusia 16 tahun antara ditahan dipercayai menjadi…
Sektor Pertanian Sumbang RM6.1 Bilion kepada KDNK Kelantan
|
Sektor pertanian masih menjadi antara tulang belakang ekonomi negeri…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!