Hasrat seorang anggota polis untuk pulang ke rumah tidak kesampaian apabila beliau maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 30 Jalan Persekutuan Pasir Puteh-Kota Bharu, berhampiran Simpang Kampung Banir Belikong, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Difahamkan, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu sedang memandu sebuah Perodua Kelisa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Puteh dari Kota Bharu.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob:
"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas, kemudian mangsa tercampak keluar dari kenderaan."
Beliau berkata, pihak polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.05 tengah malam.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh, Inspektor Abdul Munir Mohd Fauzi di talian 013-9872579.
Sumber: Harian Metro
