Hasrat untuk menghantar ratusan kilogram durian dipercayai dari Thailand ke Pasir Puteh tidak kesampaian apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Abe Li Posmen, Rantau Panjang.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi, 18 Julai ketika anggota Batalion 9 PGA menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan sebelum mengesan sebuah pacuan empat roda yang mencurigakan.
Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 350 kilogram durian yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand. Nilai keseluruhan rampasan bersama kenderaan dianggarkan melebihi RM50,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemandu berusia 20 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan buah-buahan yang dibawanya.
Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati durian tersebut ditempah oleh majikan suspek melalui aplikasi WhatsApp. Suspek mendakwa dia hanya diarahkan mengambil bekalan durian itu sebelum menghantarnya ke Pasir Puteh untuk dijual.
Susulan itu, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Sumber: Harian Metro
