Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, berkongsi pengalaman mencemaskan yang dilaluinya sepanjang 14 hari hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih, Tapah, Perak sejak 24 Mei lalu.
BERKAITAN: Hilang Hampir Dua Minggu, Pendaki Wanita Jaslinda Ditemui Selamat Di Pos Musoh
Kisah tersebut mula tular di media sosial menerusi beberapa rakaman video yang memaparkan pengalaman getirnya ketika berusaha mencari jalan keluar dari kawasan hutan berkenaan.
Bergerak Sendirian Cari Bantuan
Menceritakan semula detik awal kejadian, Jaslinda berkata dia meneruskan perjalanan seorang diri selepas rakannya memintanya bergerak terlebih dahulu untuk mendapatkan bantuan.
"Jadi akak gerak dulu sampai atas. Kamera akak semua bateri habis.
"Jadi akak pun dah sampai atas, akak tunggu sekejap. Nak tunggu lama ni takut yang tu lama, dia tak larat," katanya.
Jatuh Berkali-Kali Dan Hilang Arah
Menurut Jaslinda, keadaan menjadi semakin sukar apabila dia mula hilang arah dalam kawasan berbukit selain berdepan keadaan muka bumi yang mencabar.
"Dalam perjalanan, akak jatuh banyak kali. Akak berpusing-pusing di tempat yang sama dan keluar tempat sama.
"Jadi akak tukar belah ke kanan, itu yang jumpa bukit itu. Bukit itu ada dua, tapi sebelum itu akak dah naik gunung itu," katanya.
Bertahan Hidup Dalam Hutan
Jaslinda berkata, pengalaman tersebut sangat memenatkan sehingga ada ketika dia merasakan dirinya tidak mampu lagi meneruskan perjalanan.
"Macam nak mati sebab dia punya tanah terlalu lembik, turun naik turun naik kawasan sekitar.
"Ada air di kawasan berkenaan, itu saya minum," katanya.
Beliau turut mendakwa menemui kawasan seperti gua sepanjang tempoh berada di dalam hutan.
Ditemui Selamat Selepas 14 Hari
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP).
Wanita yang bekerja sebagai eksekutif rantaian bekalan itu kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu sebelum dilaporkan hilang.
Selepas usaha pencarian besar-besaran dijalankan pelbagai agensi, Jaslinda akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat selepas 14 hari dan kini berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.
BERKAITAN: Hilang Hampir Dua Minggu, Pendaki Wanita Jaslinda Ditemui Selamat Di Pos Musoh
Sumber: Berita Harian
SHARE:
