Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di hadapan simpang Kampung Sadek, Baling pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, polis menerima panggilan kira-kira jam 12.20 tengah malam daripada petugas Hospital Baling yang memaklumkan kematian mangsa.
Menurutnya, bayi berkenaan meninggal dunia ketika sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Baling selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik.
Suami Isteri Cedera, Bayi Disahkan Meninggal Dunia
Hasil siasatan mendapati, kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama isterinya berusia 41 tahun serta anak mereka berusia lima bulan.
Kereta tersebut dikatakan bergerak dari arah Gerik menghala ke Kupang.
Sementara itu, sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun pula datang dari arah Kelantan menghala ke Pulau Pinang.
Akibat kemalangan tersebut, pemandu serta penumpang kereta mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, bayi yang cedera parah disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan.
Pemandu Lori Ditahan, Ujian Air Kencing Positif Dadah
Menurut Brandon, mayat bayi dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi proses bedah siasat.
Beliau berkata, pemandu lori telah ditahan untuk siasatan lanjut selepas saringan awal ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian.
Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
