Pemandu Maut, Kereta Bawa Guni Beras Terbalik Dalam Parit di Tanah Merah

Seorang lelaki berusia 39 tahun maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam parit di Jalan Raya Timur Barat, Kampung Batu 9, Batang Merbau, Tanah Merah.

Ketika kejadian pada malam Isnin, kereta berkenaan dilaporkan membawa muatan guni beras.

Menurut laporan Sinar Harian, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui sistem NG999 pada jam 11.44 malam.

Komander Operasi BBP Kemahang, Pegawai Bomba Kanan I Mat Nuri Muhamad berkata, pasukan bomba tiba di lokasi enam minit kemudian pada jam 11.50 malam.

Pemeriksaan mendapati sebuah Proton Wira telah terbabas sebelum terbalik ke dalam parit, manakala pemandunya tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Seorang lelaki Melayu berusia 39 tahun yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan didapati tersepit di bahagian pemandu.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas pemotong hidrulik untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat itu melibatkan lima anggota bomba dan tamat sepenuhnya pada jam 12.28 tengah malam.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!