Jangan Sekadar Tulis Di Media Sosial, Exco Minta Aduan Air Terus Dibuat Kepada AKSB

Kerajaan Kelantan meminta rakyat menyalurkan aduan berkaitan bekalan air secara lebih spesifik dan terus kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, aduan yang lengkap dengan alamat rumah, lokasi dan kawasan terlibat amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti punca sebenar masalah.

Menurut beliau, aduan secara umum di media sosial tanpa maklumat lokasi hanya menyukarkan pasukan teknikal menjalankan siasatan sama ada masalah berpunca daripada loji, paip pecah, tangki, tekanan rendah atau sistem dalaman rumah.

“Kalau air kotor, tolong beri alamat rumah, lokasi dan kawasan terlibat. Baru pasukan kita boleh turun siasat sama ada masalah berlaku di loji, paip pecah, tangki atau sistem dalaman rumah.

“Kalau setakat tulis dalam media sosial ‘air tidak ada’, kita hendak cari di mana? Macam mana hendak selesai? Duduk bising sesama sendiri, tetapi masalah tidak sampai kepada kami,” katanya pada Ahad.

Guna Aplikasi MyAKSB

Dalam masa sama, Izani menggesa pengguna menggunakan aplikasi MyAKSB yang disediakan bagi memudahkan urusan aduan, semakan bil, pembayaran serta penerimaan notifikasi gangguan bekalan air secara terus.

Menurutnya, penggunaan aplikasi itu masih rendah apabila hanya kira-kira 30,000 pengguna mendaftar daripada hampir 300,000 akaun pelanggan AKSB di seluruh Kelantan.

“Itu lebih kurang 10 peratus sahaja. Sedangkan dalam aplikasi itu banyak maklumat penting. Hendak bayar bil boleh, hendak buat aduan boleh, hendak cadang penambahbaikan pun boleh,” katanya.

Beliau turut mengakui masih wujud jurang komunikasi antara pengguna dengan pihak AKSB sehingga ada masalah kecil berlarutan berbulan-bulan kerana tidak disalurkan melalui saluran rasmi.

“Saya beri contoh dalam kawasan saya sendiri. Ada penduduk kata tiga bulan tidak ada air, tetapi rupanya tidak pernah memaklumkan kepada AKSB. Dia duk bising dalam kelompok dia sahaja.

“Bila sampai maklumat kepada kita, hari sama kita pergi dan selesai. Rupanya cuma masalah pelarasan booster dan valve sahaja,” katanya.

17 Projek Loji Air Baharu Sedang Dilaksanakan

Dalam perkembangan sama, Izani memaklumkan beberapa kawasan yang sebelum ini berdepan isu air berkarat dan gangguan bekalan kini semakin pulih secara berperingkat.

Antara kawasan terlibat termasuk Bukit Chupak di Gua Musang, Kelar Dua di Pasir Mas, Machang dan Chicha.

“Bukit Chupak di Gua Musang selesai, Kelar Dua di Pasir Mas selesai, Machang pun selesai dan terbaru, kawasan Chicha juga banyak yang akan selesai.

“Tidak usah banyak bercakap, kita buat kerja. Insya-Allah, dari semasa ke semasa, keadaan akan makin baik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini melaksanakan 17 projek loji rawatan air baharu yang dirancang sejak 2023 bagi meningkatkan kapasiti bekalan air di seluruh Kelantan.

Katanya, apabila semua projek siap menjelang 2030, jumlah loji rawatan air di negeri ini akan meningkat daripada 43 kepada 60 loji dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 884 juta liter sehari.

“Insya-Allah, menjelang 2030, kita jangka jumlah air lebih mencukupi dan isu air dapat dikurangkan dengan banyak walaupun mungkin tidak selesai sepenuhnya,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Jangan Sekadar Tulis Di Media Sosial, Exco Minta Aduan Air Terus Dibuat Kepada AKSB
|
Kerajaan Kelantan meminta rakyat menyalurkan aduan berkaitan bekalan air…
Makmal Bertaraf Global Dibuka, Kelantan Sasar Jadi Hab Industri REE Lengkap
|
Kelantan menyasarkan pembangunan rantaian industri unsur nadir bumi bukan…
Lelaki Dicekup Selepas Diekori 30KM, 1.2 Tan Minyak Masak Subsidi Dirampas
|
Taktik seorang lelaki membawa hampir 1.2 tan minyak masak…
Warga Emas Panjat Pagar 2 Meter Selamatkan Diri Dan Cucu Ketika Rumah Terbakar Di Tumpat
|
“Entah dari mana datangnya kekuatan itu…”Itu luahan seorang warga…
Jemaah Haji 77 Tahun Dari Machang Meninggal Dunia Di Mekah
|
Seorang jemaah lelaki warga emas dari Machang, Kelantan dilaporkan…
Kelantan Red Warrior FC Sedia Beraksi Di Liga Super Musim Depan
|
Saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026 akhirnya melabuhkan tirai…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!