Kerajaan Kelantan mengambil pendekatan berhati-hati dalam membangunkan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong bagi mengelakkan projek berkenaan berdepan masalah lebih besar.
Menurut laporan Sinar Harian, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri mahu memastikan kontraktor yang dipilih mempunyai kemampuan kewangan serta tahap kompetensi mencukupi.
Kerajaan negeri tidak mahu tergesa-gesa melantik kontraktor semata-mata untuk menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan, namun akhirnya berdepan risiko projek terbengkalai atau syarikat berkenaan mengalami kebankrapan.
“Nanti kita tanggung seperti syarikat bankrap dan sebagainya, nanti lagi lama. Kita pilih yang terbaik. Lambat tidak apa, asal jadi molek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat DUN Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim pada Khamis.
Dibangunkan dalam Dua Fasa
Dr Izani berkata, pembangunan KB Sentral kini dibahagikan kepada dua fasa.
Fasa pertama melibatkan kerja penambakan dan kerja tanah bernilai RM14 juta, manakala pembinaan fizikal terminal akan dilaksanakan dalam fasa kedua selepas kerja berkenaan selesai.
Kemajuan kerja tanah ketika ini direkodkan sebanyak 40.7 peratus dan dijangka berakhir pada Mei 2027.
Kerajaan negeri turut mencari kaedah pembiayaan dan pelaksanaan terbaik bagi mengurangkan beban kewangan negeri.
Antara pilihan yang sedang dipertimbangkan ialah kerjasama dengan syarikat swasta menerusi konsep Build-Operate-Transfer (BOT).
“Kita cuba cari kaedah-kaedah yang paling kita boleh menyelamatkan kewangan kerajaan negeri. Kalau akhirnya tidak ada juga, jawabnya duit kitalah,” katanya.
Buka Ruang kepada Kontraktor Kemuka Cadangan
Kerajaan negeri turut membuka peluang kepada kontraktor dan syarikat yang berminat untuk mengemukakan cadangan berkaitan kaedah pembinaan serta reka bentuk KB Sentral.
“Sekarang ini di peringkat kita kumpul. Kalau ada lagi kontraktor, tidak mahu mewah sangat, asal boleh masuk, kita nak tengok bagaimana dia bina, kita buka semua dah dengan kos ini.
“Soal-soal reka bentuk dan sebagainya, ia jadi fasa kedua,” katanya.
Projek KB Sentral sebelum ini dilaporkan bernilai kira-kira RM64 juta dan pada asalnya disasarkan siap pada penghujung 2026.
Bagaimanapun, pertukaran pihak pelaksana, pengambilalihan semula projek serta kerja rawatan dan penstabilan tanah menyebabkan sasaran penyelesaian berubah kepada 2028.
Sumber: Sinar Harian
