Projek Ganti Paip Uzur RM79 Juta Di Kelantan Selesai

Projek penggantian paip uzur di Kelantan bernilai kira-kira RM79 juta yang melibatkan jajaran sepanjang 113 kilometer kini memasuki fasa akhir.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Ir. Zulkiflee Omar berkata, kerja penanaman paip baharu sepanjang jajaran berkenaan telah selesai.

Menurutnya, projek kini memasuki proses memati dan meninggalkan paip lama sebelum dijangka disiapkan sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Katanya, projek berkenaan penting dalam usaha mengurangkan kadar air terawat yang terbuang atau Non-Revenue Water (NRW), selain memastikan pelaburan membabitkan pembinaan loji rawatan air dapat dimanfaatkan secara optimum.

“PAAB tidak mahu peningkatan kapasiti pengeluaran air melalui pembinaan loji baharu menjadi sia-sia sekiranya sebahagian bekalan yang disalurkan hilang akibat keadaan paip yang uzur.

“Kita tidak mahu buat loji air, tetapi airnya terbuang. Jadi, paip uzur perlu diganti supaya kadar NRW dapat dikurangkan. Usaha itu merupakan aspirasi kerajaan memastikan rakyat menikmati kemudahan bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PAAB Kelestarian di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor.

RM991 Juta Untuk Projek Infrastruktur Air

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkiflee berkata PAAB merancang projek pembinaan loji rawatan air baharu dan penggantian paip-paip uzur bernilai kira-kira RM991 juta di Kelantan.

Menurut beliau, projek tersebut kini berada pada peringkat perancangan dan reka bentuk serta dijangka ditender tidak lama lagi.

“Pembangunan infrastruktur bekalan air perlu bergerak seiring antara pembinaan loji baharu dan penggantian paip lama.

“Hal ini bagi memastikan rizab bekalan air mencukupi dapat ditingkatkan khususnya ketika musim perayaan dan kemarau,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!