Hampir 34,000 akaun pengguna di tiga jajahan terjejas susulan kebocoran paip air mentah yang menyebabkan kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Machang menurun hampir separuh.
Gangguan bekalan air itu melibatkan seluruh jajahan Machang serta sebahagian kawasan di Pasir Puteh dan Kota Bharu Selatan.
Menurut laporan Bernama, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan memaklumkan kebocoran berlaku pada paip air mentah jenis Glass-Fibre Reinforced Plastic (GRP) bersaiz 1,000 milimeter.
Kerja pembaikan telah dimulakan kira-kira jam 11 malam pada 4 September dan dijangka mengambil masa sehingga sembilan hari untuk disiapkan.
“Bekalan air dijangka pulih seawal 14 Sept ini. AKSB turut menggerakkan aset lori tangki dan lori air kontrak bagi membantu pengguna yang terjejas, manakala operator air negeri lain turut memberi komitmen untuk menyalurkan bantuan penghantaran lori tangki air ke kawasan terjejas,” menurut AKSB.
Premis Kritikal Diberi Keutamaan
AKSB memaklumkan penghantaran bekalan air akan mengutamakan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan.
Antara premis berkenaan ialah hospital, pusat dialisis, penjara dan asrama pusat pengajian tinggi.
Selain menggerakkan lori tangki miliknya dan lori air kontrak, AKSB turut menerima komitmen bantuan daripada operator air negeri lain untuk menghantar bekalan ke kawasan terjejas.
Maklumat Akan Dikemas Kini
Pemakluman awal mengenai gangguan tersebut telah disampaikan kepada pengguna melalui sistem Infoblast menerusi PINTAS Careline 15777.
AKSB akan mengemas kini perkembangan kerja pembaikan dan status bekalan air dari semasa ke semasa.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman sesawang rasmi AKSB, aplikasi MyAKSB serta saluran media sosial syarikat berkenaan.
Sumber: Bernama
