“Saya Rasa Belum Mampu Lagi Keluar Dari Chow Kit Dan Pulang Ke Kelantan”

“Rasanya saya masih belum mampu lagi untuk keluar dari Chow Kit dan pulang ke Kelantan,” demikian luahan Kak Ani yang sudah lebih 10 tahun menetap di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Kak Ani yang mempunyai lima anak berkata, dua daripada anaknya dilahirkan di Chow Kit dan dia lebih selesa menetap di kawasan itu sejak tahun 2015.

Menurutnya, dia asalnya mengikut suami yang mendapat pekerjaan di Ampang, Selangor sebelum mereka dihantar menetap di Chow Kit sebaik tiba dari Kelantan.

Namun, kehidupan keluarga itu terus diuji apabila suaminya sering keluar masuk penjara akibat terbabit dengan beberapa kes jenayah lampau.

Suami Ditahan Semula Ketika Parol

Kak Ani berkata, suaminya terbaru ditahan polis kerana dikehendaki terbabit dalam kes jenayah yang berlaku 11 tahun lalu, walaupun baru dibebaskan dan masih dalam tempoh parol.

Katanya, suaminya ditahan ketika sekatan jalan raya dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah.

“Hasrat dia untuk bersama anak semula dan menjernihkan kembali hubungan tidak kesampaian,” katanya.

Mahu Balik Kelantan Dalam Hidup Lebih Stabil

Menurut Kak Ani, dia mahu pulang semula ke kampung di Pasir Mas, Kelantan tetapi dalam keadaan hidup yang lebih stabil dan bertambah baik.

Dia berharap anak-anak terutama anak perempuan kedua dapat mengubah persepsi buruk terhadap penghuni lorong Chow Kit.

Katanya, anaknya itu merupakan pelajar contoh di sekolah dan aktif dalam aktiviti, malah menjadi harapan utama untuk keluarga keluar daripada kehidupan daif.

“Anak saya pernah menyatakan hasrat untuk menjadi insan yang berjaya dan mengubah identiti negatif Chow Kit.

“Saya terharu melihat kesungguhannya. Azamnya itu menjadi penguat semangat saya untuk membesarkan anak-anak,” katanya.

Persekitaran Tidak Sihat, Tapi Anak Dijaga Ketat

Kak Ani mengakui persekitaran Chow Kit tidak sihat untuk membesarkan anak, namun dia berusaha menjaga dan melindungi mereka seperti ibu bapa lain.

Katanya, dia mendidik anak-anak supaya bijak menjaga diri dan tidak merayau.

Menurutnya, jika mereka merayau, mereka berisiko ditangkap petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kerap melakukan rondaan.

Selain itu, kesedaran awam juga semakin meningkat apabila orang ramai akan melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan termasuk melibatkan kanak-kanak di Chow Kit.

Katanya, berbanding lima atau enam tahun lalu, anak-anak Chow Kit kini lebih baik dan peka, malah tidak merayau pada waktu pagi atau malam.

Bantuan Makanan Semakin Berkurang

Kak Ani turut memaklumkan keadaan di Chow Kit kini lebih baik susulan tindakan berterusan pihak berkuasa membasmi kegiatan jenayah dan dadah.

Walaupun mengakui masih ramai penagih dadah di kawasan itu, operasi pihak berkuasa menyebabkan ramai berpindah lokasi dan pengedar dadah tidak berani bergerak aktif.

Katanya, kebanyakan penghuni Chow Kit adalah golongan miskin bandar yang bergantung kepada bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Namun, katanya, keadaan kini sudah berubah apabila bantuan makanan semakin sukar diperoleh.

Menurutnya, ketika wabak Covid-19 sekitar 2021 hingga 2022, bantuan makanan diterima dengan banyak, tetapi kini untuk mendapat bantuan seminggu sekali juga sudah sukar.

Kak Ani berharap inisiatif bantuan makanan asas seperti beras, minyak, tepung, gula dan barangan kering dapat diteruskan.

Dalam masa sama, dia juga berharap lebih banyak pihak prihatin dengan nasib anak lorong dan mewujudkan program yang mampu meningkatkan keyakinan anak-anak di situ.

“Saya tidak berharap banyak tetapi mahu orang luar melayan anak lorong seperti anak yang normal,” katanya.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

Pemandu Sempat Keluar, Treler Rosak Brek Terjunam Ke Dalam Gaung Di Gua Musang
|
Seorang pemandu treler bernasib baik apabila sempat keluar dan…
Bekas Pemain Kelantan Mahu Ambil Alih 80 Peratus Saham Kelantan WTS FC
|
Sekumpulan bekas pemain Kelantan yang bernaung di bawah Ex-Treble…
JKN Kelantan Siasat Isu Remaja Sesak Nafas Tunggu Lama Di Hospital Tumpat
|
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan menjalankan siasatan lanjut berhubung…
Anak Muda Kota Bharu Sanggup Turun Padang Bersihkan Bandar Tanpa Upah Demi Kelestarian Alam Sekitar
|
Ketika ramai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keadaan…
PGA Serbu Dua Lokasi Proses Air Ketum Di Kota Bharu, Rampasan Hampir RM60,000
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) melumpuhkan kegiatan memproses dan menjual…
Remaja Maut, Putus Tangan Kanan Selepas Motosikal Bertembung Kereta Di Pasir Mas
|
Dua penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!