Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat, memberi bayangan bahawa musim ini mungkin menjadi penutup kepada perjalanan panjangnya dalam bola sepak tanah air.
Pemain yang mesra disapa Apek itu mengakui bersedia mengucapkan selamat tinggal selepas lima tahun bersama Sabah, selain tidak menolak kemungkinan untuk menggantung but selepas lebih dua dekad mencurahkan bakti.
Perkara itu dikongsikan secara eksklusif kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, selepas membantu Sabah mengikat Penang dalam aksi di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu.
Menurut Apek yang kini berusia 37 tahun, beliau masih belum memikirkan sepenuhnya mengenai hala tuju selepas ini, namun mengesahkan musim ini merupakan tahun terakhirnya bersama kelab tersebut.
“Apek belum fikir masa depan sama ada untuk teruskan dalam bola sepak, tapi yang pasti ini tahun terakhir bersama Sabah FC selepas lima tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Apek turut menyentuh soal pengorbanan keluarga sepanjang beliau beraksi jauh di Sabah, apabila isteri dan keluarga tidak sentiasa berada bersama.
Katanya, keluarga banyak berkorban sepanjang tempoh beliau bersama kelab itu dan kini tiba masanya untuk beliau pula berkorban demi keluarga.
“Keluarga tidak bersama sepanjang beraksi di Sabah. Famili banyak berkorban, biarlah kali ini saya pula berkorban untuk keluarga,” katanya.
Khairul Fahmi, yang lahir pada 7 Januari 1989, berasal dari Kampung Dusun Raja, Cherang, Kota Bharu, Kelantan. Bapanya, Che Mat Hussein, dikenali dengan panggilan Che Su.
Beliau pernah menuntut di Sekolah Kebangsaan Tapang, sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bandar Penawar dan kemudiannya berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Dalam karier profesional, Apek memulakan perjalanan bersama Harimau Muda sebelum menyertai Kelantan FA pada 2009 hingga 2018, dan menjadi antara tonggak utama era kegemilangan pasukan itu.
Beliau kemudian beraksi bersama Melaka United (2018-2021) sebelum menyertai Sabah FC pada 2021 sehingga kini.
Sepanjang kariernya, Apek pernah merangkul pengiktirafan sebagai antara penjaga gol terbaik negara apabila memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Muda Terbaik bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2010, selain sekali lagi diiktiraf sebagai Penjaga Gol Terbaik 2011.
Perkongsian itu sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi penyokong bola sepak tempatan, yang melihat Apek sebagai antara nama besar yang pernah mengharumkan bola sepak Kelantan dan Malaysia.
Sumber: Astro Arena
SHARE:
