4 Tentera Israel Maut Dalam Pertempuran Di Selatan Lubnan

Tentera Israel mendakwa empat anggotanya terbunuh dalam pertempuran di selatan Lubnan ketika pasukan mereka bertempur dengan pejuang Hizbullah selepas melancarkan pencerobohan darat ke negara itu.

Menurut kenyataan tentera pada Selasa, tiga daripada anggota terbabit berasal daripada batalion yang sama dan “gugur ketika pertempuran”.

Dalam kenyataan berasingan, tentera Israel memaklumkan seorang lagi anggota turut terbunuh dalam insiden sama, manakala dua lagi cedera, namun identiti mereka tidak didedahkan.

Laporan menyebut, seramai 10 anggota tentera Israel dilaporkan terbunuh sejak pertempuran dengan Hizbullah kembali memuncak pada 2 Mac, susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Dalam masa sama, Kementerian Kesihatan Awam Lubnan melaporkan lebih 1,200 orang terbunuh akibat serangan Israel ke atas Lubnan, manakala lebih sejuta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman.

Agensi Berita Nasional Lubnan pada Selasa turut melaporkan serangan dron Israel membunuh empat orang di selatan Lubnan. Dua mangsa maut apabila sebuah kereta diserang di kawasan al-Wasita Al-Qasimiya berhampiran Tyre, manakala dua lagi terbunuh dalam serangan di Derikifa.

Kejadian itu berlaku sehari selepas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan dua anggota pengaman maut selepas “letupan yang tidak diketahui puncanya memusnahkan kenderaan mereka” berhampiran perkampungan Bani Haiyyan.

Sebelum itu, seorang lagi anggota pengaman dilaporkan terbunuh pada Ahad akibat projektil berhampiran kampung Aadchit el-Qsair.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin mengarahkan tentera memperluaskan pencerobohan di selatan Lubnan bagi menolak pasukan lebih jauh, dengan matlamat mewujudkan “zon penampan” sehingga ke Sungai Litani.

Beberapa menteri berhaluan kanan di Israel turut dilaporkan menggesa Netanyahu supaya mengilhakkan selatan Lubnan, ketika tentera Israel didakwa memusnahkan jambatan dan rumah bagi memutuskan kawasan tersebut daripada bahagian lain negara itu.


Sumber: Al Jazeera

SHARE

TERKINI

AS Akan “Berundur’ Dari Iran Dalam Tempoh 2 Hingga 3 Minggu
|
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa tentera Amerika akan…
Bersedia Hadapi Peningkatan Kos Bahan Api Bagi Penjanaan Elektrik
|
Malaysia perlu bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan kos bahan api…
Pemandu Mabuk, Positif Dadah Hadapi Tuduhan Bunuh
|
Seorang juruteknik yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah…
Dari Sawah Terbiar Kini Jadi Ikon Baharu Pelancongan Desa Di Jelawat, Bachok
|
Siapa sangka kawasan sawah padi yang suatu ketika dahulu…
Pelajar Terbaik Kelantan Raih 12A+ SPM, Hafiz al-Quran, Fasih 3 Bahasa
|
Impian seorang ibu yang tidak kesampaian untuk menjadi doktor…
Disahkan Autisme Pada Usia 16 Tahun, Pelajar SMKA Naim Lilbanat Raih 10A Dalam SPM
|
Walaupun disahkan menghidap autisme pada usia 16 tahun, seorang…
Jawatan Kosong Kelantan