Pelajar Terbaik Kelantan Raih 12A+ SPM, Hafiz al-Quran, Fasih 3 Bahasa

Impian seorang ibu yang tidak kesampaian untuk menjadi doktor menjadi pembakar semangat kepada Muhammad Izz Darwisy Zamani apabila pelajar itu berjaya mencatat keputusan luar biasa 12A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Muhammad Izz, 18, berkata ibunya, Mas Atikah Mansor pernah menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, namun terpaksa melupakan cita-cita itu akibat masalah kesihatan.

Kisah Ibu Jadi Inspirasi


Menurutnya, kisah ketabahan ibunya menjadi inspirasi untuk dia belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.

“Saya pernah berbicara hati ke hati dengan Umi (Mas Atikah) masa Tingkatan Tiga, jadi Umi beritahu dia bercita-cita nak jadi doktor, dapat tawaran selepas Umi tamat SPM, tetapi terpaksa tolak kerana masalah kesihatan.

“Saya berharap dengan keputusan cemerlang ini, saya dapat jadi doktor bagi memenuhi impian Umi,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Bachok (SMKATB), di Bachok.

Dalam keputusan tersebut, Muhammad Izz memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran.

Hafiz al-Quran Sejak Tingkatan Tiga


Muhammad Izz yang merupakan hafiz 30 juzuk al-Quran sejak Tingkatan Tiga berkata, teknik hafalan yang digunakan ketika menghafaz al-Quran turut diaplikasikan dalam pembelajaran akademik.

Katanya, beliau akan memilih satu mata pelajaran dan memberi tempoh antara tujuh hingga 10 hari untuk menguasai sesuatu subjek sebelum mengulang semula keseluruhan bacaan pada hari terakhir.

“Saya akan pilih satu mata pelajaran dan tempoh antara tujuh hingga 10 hari untuk saya hafal satu-satu subjek, dan pada hari terakhir (hari ketujuh atau ke-10), saya akan ulang semua bacaan.

“Teknik ini teknik sama saya gunakan untuk hafal al-Quran,” katanya.

Kongsi Amalan


Selain itu, beliau berkata amalan membaca Yasin dan tahajud yang menjadi rutin wajib di asrama turut diteruskan walaupun pulang ke rumah.

Anak kedua daripada empat beradik itu turut menekankan kepentingan adab terhadap ibu bapa dan guru bagi memperoleh keberkatan dalam menuntut ilmu.

Katanya, memberi fokus sepenuhnya di dalam kelas dan menjaga tutur kata terhadap guru adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

Fasih 3 Bahasa Dan Aktif Sukan


Muhammad Izz yang fasih dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Arab dan Perancis merancang untuk menyambung pengajian dalam jurusan asasi perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) sebagai pilihan pertama.

Dalam masa sama, beliau juga aktif dalam sukan dan pernah mewakili negeri dalam acara pingpong serta catur, selain terlibat di peringkat daerah bagi sukan bola sepak.

Difahamkan, Muhammad Izz merupakan calon tunggal di Kelantan yang berjaya memperoleh keputusan 12A+ dalam peperiksaan SPM yang diumumkan hari ini.

Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

Kelantan Nafi UEC Jadi Syarat Kemasukan Program Asasi KIAS, Hanya SPM Diiktiraf
|
Kerajaan Kelantan menafikan bahawa kelayakan Unified Examination Certificate (UEC)…
7 GRO Warga Asing, 3 PATI Myanmar Ditahan Di Kota Bharu
|
Kegiatan tujuh wanita warga asing yang dipercayai menyalahgunakan pas…
Kes Bunuh OKU Di Bachok: Pasangan Suami Isteri Pula Direman
|
Pasangan suami isteri direman bagi membantu siasatan kes bunuh…
Rumah Macam Wad, Wanita Di Tumpat Tabah Jaga Suami Terlantar, Ibu Dan Adik Sakit Kronik
|
Seorang wanita di Tumpat tidak pernah mengeluh atau merungut…
Kanak-Kanak 2 Tahun Terima 20 Jahitan Selepas Diserang Kera Dalam Rumah Di Peringat
|
Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan apabila menerima lebih…
Rakyat Kelantan Cintakan Majlis Ilmu, Ribuan Hadir Sambut UAS Di 3 Daerah
|
Kehadiran penceramah terkenal dari Indonesia, Prof. Dr. Ustaz Abdul…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!