4 Tentera Israel Maut Dalam Pertempuran Di Selatan Lubnan

Tentera Israel mendakwa empat anggotanya terbunuh dalam pertempuran di selatan Lubnan ketika pasukan mereka bertempur dengan pejuang Hizbullah selepas melancarkan pencerobohan darat ke negara itu.

Menurut kenyataan tentera pada Selasa, tiga daripada anggota terbabit berasal daripada batalion yang sama dan “gugur ketika pertempuran”.

Dalam kenyataan berasingan, tentera Israel memaklumkan seorang lagi anggota turut terbunuh dalam insiden sama, manakala dua lagi cedera, namun identiti mereka tidak didedahkan.

Laporan menyebut, seramai 10 anggota tentera Israel dilaporkan terbunuh sejak pertempuran dengan Hizbullah kembali memuncak pada 2 Mac, susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Dalam masa sama, Kementerian Kesihatan Awam Lubnan melaporkan lebih 1,200 orang terbunuh akibat serangan Israel ke atas Lubnan, manakala lebih sejuta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman.

Agensi Berita Nasional Lubnan pada Selasa turut melaporkan serangan dron Israel membunuh empat orang di selatan Lubnan. Dua mangsa maut apabila sebuah kereta diserang di kawasan al-Wasita Al-Qasimiya berhampiran Tyre, manakala dua lagi terbunuh dalam serangan di Derikifa.

Kejadian itu berlaku sehari selepas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan dua anggota pengaman maut selepas “letupan yang tidak diketahui puncanya memusnahkan kenderaan mereka” berhampiran perkampungan Bani Haiyyan.

Sebelum itu, seorang lagi anggota pengaman dilaporkan terbunuh pada Ahad akibat projektil berhampiran kampung Aadchit el-Qsair.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin mengarahkan tentera memperluaskan pencerobohan di selatan Lubnan bagi menolak pasukan lebih jauh, dengan matlamat mewujudkan “zon penampan” sehingga ke Sungai Litani.

Beberapa menteri berhaluan kanan di Israel turut dilaporkan menggesa Netanyahu supaya mengilhakkan selatan Lubnan, ketika tentera Israel didakwa memusnahkan jambatan dan rumah bagi memutuskan kawasan tersebut daripada bahagian lain negara itu.


Sumber: Al Jazeera

SHARE

TERKINI

Mbarga, Musa Dijangka Turun Beraksi Dalam Pusingan 16 Piala FA Golok
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal meneruskan cabaran…
Wayang Kulit Kelantan Makin Sukar Bertahan, Permit Dan Kekurangan Pelapis Jadi Cabaran
|
Ramai menyangka Wayang Kulit Kelantan sudah tidak lagi diminati.Hakikatnya,…
Thailand Bina Pagar Kawat Berduri 99KM Di Sempadan Kelantan-Narathiwat
|
Wilayah Tentera Ke-4 Thailand bakal membina pagar kawat berduri…
Kanak-Kanak Autistik Tujuh Tahun Maut Terjatuh dari Tingkat 13 Pangsapuri
|
Seorang ibu dari Pasir Puteh, Kelantan tidak menyangka perasaan…
Siapa Aliff Sor Dechapan? Kenali Juara Dunia Muay Thai Dari Kelantan
|
Nama Aliff Rakib kini terpahat dalam sejarah sukan tempur…
Thailand Laksana Undang-Undang Tentera Di Narathiwat Selepas Serangan Maut
|
Kerajaan Thailand mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera di 13 daerah…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!