Kanak-Kanak 9 Tahun Diserang, Dicabul Lelaki Tidak Dikenali Ketika Ke Pasar Malam

Detik ngeri yang dialami seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Jalan Bakawali, Bukit Sentosa, Hulu Selangor selepas dia diserang secara kejam oleh seorang lelaki tidak dikenali, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang, mangsa bersama abang dan kakaknya sedang berjalan kaki menuju ke pasar malam yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka selepas mendapat keizinan daripada bapa.

Namun, sebaik melalui hadapan sebuah rumah, seorang lelaki tiba-tiba mengejar mereka sebelum menarik mangsa dan menyeretnya masuk ke dalam rumah.

“Suspek bukan sekadar tarik, dia pijak, sepak dan cekik anak saya,” kata bapa mangsa.

Menurutnya, abang mangsa cuba mengejar untuk menyelamatkan adiknya, namun suspek bertindak agresif.

Suspek dilaporkan memijak, menyepak, menendang serta mencekik mangsa beberapa kali sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami luka koyak di dagu yang terpaksa dijahit enam jahitan, selain kesan lebam di bahagian leher.

“Mujur ada jiran yang menyedari kejadian itu dan menyelamatkan anak saya. Kalau lambat sedikit, saya tidak tahu apa yang akan terjadi,” katanya.

Bapa mangsa berkata, dia hanya mengetahui insiden tersebut selepas seorang individu menghantar anaknya pulang ke rumah sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.

“Bila sampai, saya nampak orang ramai sudah menahan suspek. Saya langsung tidak mengenali dia,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin memaklumkan pihak polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 8 malam.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika mangsa bersama abang dan kakaknya melalui jalan berkenaan untuk ke pasar malam sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menarik mangsa masuk ke dalam rumah.

“Kemudian suspek telah memukul mangsa menggunakan kaki dan tangan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengesahkan suspek merupakan lelaki tempatan berusia 23 tahun, seorang penganggur, dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

Suspek telah ditahan di rumahnya oleh polis Bukit Sentosa dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu sebelum dibenarkan reman selama empat hari sehingga 2 Februari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Polis memandang serius kejadian tersebut dan percaya penahanan suspek berjaya menyelesaikan kes yang berlaku di Hulu Selangor serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa.



Sebelum itu, tular kenyataan seorang wanita dipercayai ibu mangsa yang mendedahkan detik kejadian berkenaan, selain beberapa gambar mangsa yang mengalami kecederaan turut tersebar di media sosial.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Remaja 18 Tahun Ditahan, Bawa PATI Guna Kenderaan Pikap Milik Abang
|
Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sanggup meredah risiko…
Suami Isteri Dera Anak Saudara Usia 10 Tahun Direman 7 Hari Di Machang
|
Suami isteri yang ditahan semalam kerana disyaki melakukan penderaan…
Dulu Bergelumang Najis, Abbe Hae Kongsi Perkembangan Terbaru Pak Din
|
Kisah seorang warga emas yang pernah tular sebelum ini…
Kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan Bebas Rasuah, Tiada Yang Didakwa SPRM
|
Kerajaan negeri Kelantan menegaskan bahawa tiada seorang pun kakitangannya…
Mahkamah Tolak Permohonan Reman 4 Suspek Kes Tembak Penjaga Lembu Felda Kemahang 1
|
Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini menolak permohonan reman…
Suri Rumah Direman 5 Hari, Kes Rampasan 5 Senjata Api Termasuk M16 Di
|
Seorang suri rumah direman selama lima hari bagi membantu…
Jawatan Kosong Kelantan