Pokku hasilkan bot nelayan pantai timur berskala mini siap boleh berlayar

Kalau sebut bot nelayan pantai timur, ramai terbayang bentuknya yang unik dan penuh identiti.

Bagi seorang tukang rumah dari Kampung Beris Alor Pisang, Besut, kecintaan itu dibawa ke tahap lain apabila dia menghasilkan bot berskala mini.

Ianya bukan sekadar cantik dipandang, malah boleh berlayar atas air menggunakan sistem kawalan jauh (RC).

Engku Abbas Engku Ngah, 59, atau lebih mesra dipanggil Pokku, sudah lama menyimpan minat terhadap bot tradisional pantai timur.

Minat itu bermula sejak usia 20-an, ketika dia sering memerhati bapa sepupunya membina bot jenis C2 di Kampung Air Tawar.

Pokku besut hasilkan bot mini

Foto: Bernama



“Setiap kali balik dari laut, saya singgah tengok cara bapa sepupu saya buat bot. Saya perhati berbulan-bulan sebelum saya berani cuba sendiri,” katanya.

Pokku yang dahulunya bekerja sebagai nelayan sebelum berhenti pada 2002 berkata, percubaan awalnya hanya menggunakan kayu buangan dan plywood.

“Mula-mula buat sikit-sikit. Bila siap, makin semangat. Bot pertama saya siap pada 2017,” katanya.

Walaupun kini bekerja sepenuh masa sebagai tukang rumah, kemahiran membina bot sebenarnya sudah diasah sejak zaman dia menjadi nelayan.

Pengalaman sebagai tukang rumah pula membantu dari segi ketelitian dan sentuhan halus.

Menurut beliau, asas ilmu itu membolehkannya menghasilkan pelbagai model bot tradisional pantai timur termasuk reka bentuk bot nelayan Kelantan, bot Terengganu, bot Siam serta bot kelas C2 yang digunakan untuk laut dalam.

replika bot nelayan pantai timur dihasilkan Pokku

Foto: Bernama



Setiap replika bot mengambil masa dua hingga tiga bulan bergantung saiz, dan Pokku menawarkan lima pilihan ukuran iaitu dua kaki (0.61m), dua setengah kaki (0.76m), tiga kaki (0.91m), tiga setengah kaki (1.07m) dan lima kaki (1.52m).

Bahagian paling mencabar? Tender — iaitu bahagian kabin dan aksesori.

“Tender paling rumit sebab banyak bahagian kecil — joran, kacung, tiang api, spotlight, pagar, kelengkapan pukat… semua kena buat satu-satu.

Kerjanya halus, sebab itu tender lebih mahal daripada badan bot,” jelasnya.

Untuk bahan utama, rangka bot menggunakan kayu tahan air seperti cengal dan meranti merah, manakala badan bot dilapisi gentian untuk ketahanan.

Model RC pula dilengkapi komponen elektronik seperti bateri, ESC, motor, kipas, servo dan sistem kemudi bagi membolehkannya bergerak stabil di atas air.

Setakat ini, Pokku sudah menghasilkan hampir 50 unit bot mini, dengan harga antara RM3,000 hingga RM6,000 bergantung saiz dan perincian.

Pokku bersama model bot yang dihasiklannya

Foto: Bernama



Bagi Pokku, walaupun kerja ini dilakukan sedikit demi sedikit setiap hari, kepuasannya tetap sama.

“Seronok tengok daripada seketul kayu kosong, perlahan-lahan jadi bot lengkap. Itu yang buat saya terus buat lagi,” katanya.



KD: Detail betul hasil tangan Pokku ni, siap dengan pukat apa semua.. letak dalam almari cermin kat rumah lawa ni.

Sumber: Bernama

TERKINI

Warga Emas Berkerusi Roda Dan Berlampin Serta Dua Anak Ditahan Positif Dadah
|
Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun yang berkerusi…
Hampir 300,000 Rakyat Malaysia Bercuti Di Selatan Thailand Sepanjang Cuti Aidiladha
|
Hampir 300,000 pelancong Malaysia membanjiri selatan Thailand sepanjang cuti…
Polis Sahkan Terima Laporan Kes Rogol Di Bilik Jenazah Sebuah Masjid
|
Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang wanita yang…
PGA Tumpas Sindiket Seludup Vape Ke Thailand, Remaja 18 Tahun Ditahan
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok…
PGA Rampas 1,400 Pokok Bunga Orkid Dari Thailand Di Rantau Panjang
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas…
9 Anggota APM Kota Bharu Bantu Pindah PesakitWanita 180kg Ke HRPZ II
|
Sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!