Kelantan peruntuk RM27.5 Juta bagi kelestarian alam sekitar

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dengan memperuntukkan sebanyak RM27.5 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sepanjang tahun 2025.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, berkata peruntukan itu merangkumi pelbagai projek hijau termasuk pemeliharaan hutan dan ekosistem, pengurusan sisa dan kebersihan, kempen kesedaran awam, pendidikan alam sekitar dan perlindungan biodiversiti.

“Usaha ini selaras dengan matlamat pembangunan mampan yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diterjemahkan dalam konteks lima maqasid syariah yang menjadi elemen penggerak Pentadbiran Membangun Bersama Islam (PMBI) sebagai teras pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2025 di sebuah hotel di sini, semalam.

Program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober di Taman Perbandaran Tengku Anis, Kota Bharu, dengan pelbagai pengisian berbentuk pendidikan, pameran dan aktiviti hijau.

Dato’ Nassuruddin turut merakamkan penghargaan kepada pihak kementerian dan JAS atas kepercayaan memilih Kelantan sebagai tuan rumah bagi penganjuran peringkat kebangsaan tersebut.

“Inisiatif sebegini amat penting dalam memperkukuh dan memperluas pendidikan serta kesedaran alam sekitar di semua peringkat masyarakat. Ia juga wadah penting untuk seluruh rakyat Malaysia menghayati keindahan ciptaan Allah SWT serta memupuk sifat amanah terhadapnya,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif hijau secara berterusan, antaranya Kempen Sifar Plastik yang kini disertai sekurang-kurangnya 11 pasar raya utama di negeri ini sebagai tanda sokongan terhadap agenda hijau.

Selain itu, kempen “Kota Bharu Bebas Plastik” yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB–BRI) sejak Januari 2024 turut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat melalui pengharaman penggunaan plastik di premis tertentu serta galakan penggunaan alternatif mesra alam.

Dalam masa sama, Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM) turut memainkan peranan aktif melalui program penukaran minyak masak terpakai kepada tunai dan produk guna semula, yang dijalankan dengan kerjasama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan pihak berkuasa tempatan.

Dato’ Nassuruddin menegaskan bahawa semua usaha tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan negeri tidak mengabaikan kesejahteraan alam sekitar.

“Alam sekitar adalah amanah Allah. Menjaganya bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi satu tuntutan agama yang wajib dipelihara oleh setiap insan,” katanya.



Majlis perasmian berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr Ching Thoo A/L Kim, Mantan Menteri Besar Kelantan Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yaakob, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan YB Hilmi Abdullah, serta Exco Alam Sekitar Negeri seluruh negara.

#KelantanDaily
Sumber: Media Point

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!