Dituduh Lapor Aktiviti Seludup PATI, Kereta Imam Disimbah Cat di Tumpat

Seorang imam warga Thailand berdepan kejadian tidak menyenangkan apabila kereta milik isterinya disimbah cat hitam di Jeti Kok Majid, Tumpat, pada Isnin.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa dikatakan dikaitkan dengan pemberian maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Kepulauan Tumpat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.36 malam selepas mangsa kembali ke jeti berkenaan.

Menurutnya, mangsa berusia 30 tahun sebelum itu meletakkan kereta jenis Honda City milik isterinya di kawasan jeti kira-kira pukul 7.10 malam.

Mangsa kemudian bergerak ke Masjid Pulau Beluru untuk menunaikan solat Isyak.

“Selesai menunaikan solat isyak, mangsa kembali ke kawasan jeti itu kira-kira pukul 9.36 malam sebelum mendapati ada kesan cat pada pada bahagian sisi kiri kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terima Tangkap Skrin Dakwaan Ugutan

Mohd. Khairi berkata, sebelum kejadian, mangsa dipercayai menerima satu tangkap skrin daripada rakannya.

Tangkap skrin berkenaan mengandungi kenyataan yang mendakwa mangsa menerima ugutan berkaitan isu pemberian maklumat kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti penyeludupan PATI di kawasan Kepulauan Tumpat.

Bagaimanapun, mangsa menafikan dakwaan tersebut.

“Sebelum kejadian, mangsa dipercayai menerima satu tangkap skrin daripada rakannya mengandungi kenyataan mendakwa dia diugut berkaitan isu pemberian maklumat kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti penyeludupan PATI di kawasan Kepulauan Tumpat.

“Mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. Sehubungan itu, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti suspek, motif kejadian dan kemungkinan kaitan kes khianat tersebut dengan maklumat yang diterima oleh mangsa sebelum kejadian,” katanya.

Menurut Mohd. Khairi, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta motif kejadian.

Polis turut menyiasat sama ada kejadian menyimbah cat itu mempunyai kaitan dengan maklumat yang diterima mangsa sebelum kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!