Seorang daripada dua suspek yang dipercayai mendalangi kes penculikan dua lelaki di Tumpat dan Pasir Mas sebelum membawa mereka ke Thailand pada 6 Jun lalu berjaya ditahan polis di Terengganu, kelmarin.
Suspek berusia 32 tahun itu ditahan oleh polis Terengganu sebelum dibawa ke Kelantan untuk proses reman bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, usaha kini sedang dipergiatkan bagi mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.
“Sebelum ini kita jangkakan suspek melarikan diri ke Thailand, namun dia sebenarnya bersembunyi di Terengganu sebelum ditahan di negeri berkenaan.
“Seorang lagi suspek dikenali sebagai Hamzah, 40, masih dalam buruan polis,” katanya.
Mangsa Ditemui Di Thailand
Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki berusia 51 dan 35 tahun diculik di Tumpat dan Pasir Mas pada 6 Jun lalu sebelum ditemui di Mundok, Thailand, dua hari selepas kejadian.
Kedua-dua mangsa berjaya ditemui oleh pihak polis Thailand sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Didakwa Jadi ‘Cagaran’ Hutang
Siasatan mendapati kedua-dua mangsa dipercayai dijadikan ‘cagaran’ kepada individu yang mempunyai hutang berjumlah RM33,000 yang dikaitkan dengan kegiatan dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Mangsa berusia 51 tahun itu juga dilaporkan mempunyai 24 rekod jenayah lampau.
Difahamkan, individu yang berhutang merupakan saudara kepada mangsa dan bukan mangsa sendiri.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
