Dua Wanita Cedera Ambulans Terbabas Rempuh Dua Kereta di Tumpat

Dua wanita cedera selepas sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabas sebelum merempuh dua kenderaan di simpang tiga Kampung Neting, Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, Tumpat pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.15 petang ketika ambulans jenis Toyota Hiace dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun dari arah Kelaboran menuju ke Pengkalan Kubor.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ambulans berkenaan dipercayai mengalami kegagalan sistem brek ketika tiba di lokasi kejadian sebelum hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.

Ambulans itu kemudiannya merempuh sebuah Proton Waja dan Perodua Viva yang datang dari arah Kota Bharu.

Dua Wanita Cedera

Mohd Khairi berkata, pemandu Proton Waja, seorang wanita berusia 33 tahun, mengalami pendarahan pada bahagian kepala.

Sementara itu, pemandu Perodua Viva, wanita Melayu berusia 29 tahun, mengalami kecederaan pada lutut kiri.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian itu turut tular di media sosial.

Pemandu Ambulans Tidak Cedera

Menurut Mohd Khairi, pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu berkenaan juga didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.

“Siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!