[VIDEO] SKMM Siasat Pementasan Tular Hina Rukun Negara

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengenal pasti beberapa individu serta akaun media sosial yang dikaitkan dengan sebuah video pementasan yang kini tular.

Video berkenaan didakwa mengandungi kandungan yang menyentuh institusi diraja, Malaysia serta Rukun Negara.

Menurut SKMM, semakan awal mendapati rakaman itu sebenarnya berasal daripada sebuah pementasan yang berlangsung pada 2018 sebelum disebarkan semula di media sosial.

“MCMC turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melengkapkan siasatan, termasuk berkaitan bukti digital,” menurut kenyataan itu.

SKMM pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung individu yang dikaitkan dengan video berkenaan.

Langkah itu bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan.

Video Pementasan Kembali Tular

Terdahulu, video berkenaan mencetuskan perhatian selepas kembali tersebar di media sosial.

Rakaman itu memaparkan beberapa pelakon saling mengarahkan satu sama lain untuk “balik” ke China, India dan Indonesia, sebelum ungkapan “Ini Malaysia” diulang sepanjang persembahan.

Kumpulan pelakon berkenaan kemudiannya membacakan Rukun Negara, namun setiap baris bacaan disusuli respons yang dilihat sebagai mengejek oleh watak lain.

Rakaman itu turut memaparkan seorang pelakon hanya memakai seluar dalam berwarna merah dengan badannya dicat menggunakan perkataan berwarna merah dan putih.

Aaron Minta Siasatan Menyeluruh

Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, meminta PDRM dan SKMM menjalankan siasatan segera serta menyeluruh terhadap video tersebut.

Beliau turut meminta supaya tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, dengan siasatan mengambil kira peruntukan undang-undang berkaitan.

Aaron menyifatkan perbuatan dalam pementasan itu sebagai tidak bertanggungjawab, keterlaluan dan tidak boleh diterima.

Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan berkarya dan bersuara perlu disertai tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, institusi negara serta keharmonian masyarakat.

Buat masa ini, SKMM masih bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM untuk melengkapkan siasatan, termasuk aspek berkaitan bukti digital.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!