Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami kecederaan parah selepas dipercayai digigit lima ekor anjing liar di hadapan rumah neneknya di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, Batu Pahat, pagi semalam.
Mangsa, Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, dilaporkan cedera pada bahagian kepala dan muka dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 pagi.
Menurut laporan Harian Metro, kanak-kanak itu dihantar oleh ibu bapanya ke rumah neneknya sebelum mereka berangkat ke Johor Bahru atas urusan kerja.
Nenek mangsa, Darlinda Darlis, 57, berkata kejadian tersebut berlaku pada kali pertama Nur Haira tinggal bersamanya kerana cucunya itu biasanya berada di rumah datuk sebelah bapa yang terletak tidak jauh dari situ.
“Saya hanya mampu menjerit lihat cucu terbaring dan dikelilingi lima ekor anjing dengan kepala dan mukanya dipenuhi darah,” katanya.
“Ibu bapa Nur Haira mahu ke Johor Bahru kerana urusan kerja, biasanya dia tinggal di sana (rumah datuk bapa) namun disebabkan abang dan kakaknya sudah lama di sini, dia mahu ikut sekali.
“Sebelum kejadian, Nur Haira baring di sebelah abang dan kakaknya sambil minum susu, manakala saya bersiap untuk mandi.
“Selesai mandi, saya cari Nur Haira dan ternampak pintu rumah terbuka. Saya keluar dan terkejut melihat lima ekor anjing sedang menggigitnya.
“Anak saya terdengar jeritan itu lalu keluar menyelamatkan Nur Haira. Keadaan cucu cedera di kepala dan muka,” katanya.
Dirawat di zon merah
Darlinda bersama anaknya segera membawa Nur Haira ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI). Kanak-kanak itu dirawat di zon merah dan terpaksa ditidurkan.
“Saya tak boleh bayangkan keadaannya ketika itu, saya nampak mata dia terbuka namun tidak bercakap apa-apa. Saya hanya menangis sepanjang perjalanan ke hospital kerana tidak sanggup melihat keadaannya.
“Tidak lama selepas itu, Nur Haira dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru memandang kecederaan dialaminya,” katanya.
Darlinda mendakwa anjing yang menyerang cucunya itu ditinggalkan oleh pemburu selepas digunakan untuk memburu babi di kebun sawit berhampiran rumah mereka.
“Mereka (pemburu) menggunakan anjing ini, bila selesai memburu, mereka tinggalkan anjing di sini.
“Kami sudah lama risau dengan anjing liar ini kerana ia semakin membiak,” katanya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Harian Metro
