Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan beras dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Golok ketika cuba melarikan diri daripada serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA), petang Sabtu.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu berlaku berdekatan Stor Haram Pok Ngoh di Pisau Raut, Tumpat.
Ketika menjalankan rondaan di bawah Op Taring Wawasan Kelantan, sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 8 PGA mengesan sebuah perahu yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran tebing Sungai Golok.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua lelaki berkenaan terus terjun ke dalam sungai sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan.
Mereka kemudian cuba berenang menuju ke tebing Thailand.
“Seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri ke tebing Thailand, manakala seorang lagi tenggelam dan hilang daripada pandangan serta dipercayai lemas.
“Anggota bertugas cuba mengendalikan perahu berkenaan untuk memberikan bantuan kepada mangsa, namun usaha itu gagal apabila kipas enjin sangkut tersangkut pada kain dan tidak dapat digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih 1.2 tan beras ditemukan
Pemeriksaan terhadap perahu yang ditinggalkan itu menemukan sebanyak 1,178 kilogram beras dan 100 kilogram beras pulut yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Keseluruhan beras berkenaan dianggarkan bernilai RM5,412.
“Pasukan turut merampas sebuah perahu bersama sebuah enjin galah yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu,” katanya.
Menurut Ahmad Radzi, kejadian berkenaan sudah dimaklumkan kepada Pegawai Pemerintah Medan Op Taring Wawasan Kelantan dan Pegawai Turus Gerakan Briged Tenggara PGA untuk tindakan susulan.
“Selain itu, Bilik Gerakan IPD Tumpat, Ketua Polis Balai Kuala Jambu dan Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor turut dimaklumkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat serta siasatan lanjut,” katanya.
Usaha mengesan lelaki yang dipercayai lemas itu masih dijalankan, manakala siasatan berhubung kegiatan penyeludupan berkenaan diteruskan oleh pihak berkuasa.
Sumber: Sinar Harian
