Pasar Mini, Kedai Cat Musnah Terbakar di Wakaf Bharu, Kerugian Lebih RM2 Juta

Sebuah pasar mini dua tingkat dan kedai pembekal cat musnah dalam kebakaran di Jalan Hulu Pasar, Wakaf Bharu, Tumpat, awal pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan kerugian keseluruhan melibatkan bangunan dan kandungannya dianggarkan melebihi RM2 juta.

Menurut laporan Harian Metro, pemilik pasar mini, Mohamad Nubli Ismail, 51, menerima panggilan daripada pengawal keselamatan kira-kira jam 3 pagi yang memaklumkan mengenai kebakaran tersebut.

“Pengawal keselamatan memaklumkan dia terlebih dulu menghubungi bomba sebelum menghubungi saya.

“Saya percaya kebakaran itu mungkin berpunca daripada litar pintas,” katanya.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mohamad Nubli berkata, nilai barangan di dalam premisnya sahaja dianggarkan kira-kira RM500,000.

Menurutnya, bangunan dua tingkat yang terbakar itu berusia kira-kira 40 tahun.

Pengawal Keselamatan Terdengar Dua Letupan

Pengawal keselamatan, Mohamad Zuki berkata, dia sedang berehat sebelum terdengar dua letupan secara tiba-tiba.

“Saya keluar dan melihat asap datang dari bangunan berkenaan. Saya terus menghubungi bomba,” katanya.

Ketua Zon 1 JBPM Kelantan, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.14 pagi.

Seramai 21 anggota termasuk pegawai dikerahkan ke lokasi dengan menggunakan dua jentera bomba dan tiga lori tangki air.

“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran jam 4.50 pagi,” katanya.

Menurut beliau, punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!