Tiga lelaki ditahan dalam serbuan sebuah kilang kayu di Kampung Wakaf Zain, Ayer Lanas, Jeli selepas premis itu didapati gagal mengemukakan permit dan lesen berkaitan operasinya.
Pelbagai peralatan serta hasil kayu bernilai keseluruhan RM1,597,600 turut dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 3.45 petang semalam.
Menurut laporan Harian Metro, operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dijalankan oleh Pasukan Risik Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa.
Batalion 8 PGA dalam kenyataan berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 53 tahun ditahan selepas pihak kilang gagal mengemukakan permit pemindahan kayu dan lesen kebenaran pengoperasian kilang daripada Jabatan Perhutanan.
“Susulan itu, pihak Jabatan Perhutanan turut hadir ke lokasi dan mengesahkan kayu yang berada di kawasan kilang berkenaan dipercayai tidak bercukai.
“Antara yang dirampas ialah sebuah jentera berat, sebuah mesin pengasah mata gergaji, 301 batang kayu bulat pelbagai saiz dan spesies serta 1,450 batang kayu siap,” katanya.
Mengaku Urus Kilang Selama 17 Tahun
Hasil soal siasat mendapati seorang daripada suspek mengaku sudah menguruskan operasi kilang tersebut selama 17 tahun.
Lelaki berkenaan mendakwa menerima upah RM4,500 sebulan sebagai pengurus kilang, selain bertanggungjawab mengendalikan jentera berat.
“Suspek turut memaklumkan bahawa dia bekerja dengan pemilik kilang yang menetap di Machang,” katanya.
Ketiga-tiga suspek bersama barang rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Sumber: Harian Metro
