“Kami Boleh Bangkit, Jangan Beri Saranan Tak Masuk Akal” – Presiden KRW

Presiden Kelantan Red Warrior (KRW), Datuk Muhamad Zaki Harun kecewa dengan saranan supaya kelab itu menarik diri daripada Liga Super serta menukar nama dan logo kerana didakwa memalukan bola sepak Kelantan.

Menurut laporan Harian Metro, saranan itu sebelum ini dikemukakan pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid.

Zaki berkata, beliau secara peribadi tidak mengenali Muzakkir dan mempersoalkan tindakan individu berkenaan mencampuri urusan KRW.

Menurutnya, KRW bergerak secara sendiri dan masalah sekatan perpindahan pemain yang sedang dihadapi merupakan rentetan hutang Kelantan FC, kelab terdahulu yang pernah dinaungi Muzakkir sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

“Kami (KRW) tengah berusaha, dengan cara kami sendiri. Kami mendapat sokongan anak-anak muda di Kelantan yang nak sama-sama bangunkan bola sepak Kelantan.

“Kalau beliau (Muzakkir) ada pasukan yang beliau boleh naikkan imej Kelantan, dipersilakan, kami tak menghalang, kami dengan cara kami, beliau dengan cara beliau, kami nak buktikan walaupun tidak begitu berpengalaman dalam bola sepak, tetapi kami ada cara sendiri, kami tidak mahu ada segelintir orang yang berpengalaman tetapi merosakkan bola sepak,” katanya ketika dihubungi.

KRW tiada tunggakan gaji

Zaki berkata, KRW setakat ini tidak mempunyai tunggakan gaji dan pengurusan sentiasa menjaga kebajikan pemain.

Menurutnya, pengurusan kelab juga mempunyai inisiatif untuk menangani sekatan perpindahan yang menyebabkan KRW tidak dapat membawa masuk pemain import bagi memperbaiki persembahan dalam perlawanan Liga Super akan datang.

Beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan beberapa individu berpengaruh dalam bola sepak serta yakin masalah tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“InshaAllah kami selesaikan masalah sekatan perpindahan pemain ini dengan cara kami sendiri dan kami boleh bangkit, jadi janganlah orang lain nak mencampuri kita dan memberikan saranan-saranan yang tak masuk akal,” katanya.

Bagaimanapun, Zaki memaklumkan bahawa pengurusan kelab sentiasa mengalu-alukan pandangan baik yang boleh membantu memajukan KRW.

Hanya dibarisi dua pemain import

Mengulas dakwaan KRW menjadi pasukan belasahan dalam Liga Super, Zaki menyifatkan tohmahan tersebut sebagai keterlaluan.

Katanya, KRW terpaksa turun dengan hanya dua pemain import dan 18 pemain tempatan ketika berdepan pasukan gergasi seperti Selangor FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC.

Keadaan itu mewujudkan jurang ketara dari segi bilangan serta kualiti pemain antara KRW dan pasukan lawan.

“Pasukan yang tak hadapi masalah, yang ada ramai pemain, ramai import pun menghadapi masalah sama (kalah kepada pasukan gergasi), ini adalah kekuatan pasukan, di peringkat awal kami nak perkuatkan,” katanya.

Zaki turut tidak menolak kemungkinan untuk bertemu Muzakkir atau mana-mana pihak yang benar-benar mahu membantu kelangsungan serta pembangunan bola sepak Kelantan.

Terdahulu, Muzakkir menyarankan KRW menarik diri daripada Liga Super serta menukar nama dan logo kelab supaya tidak mencemarkan imej bola sepak negeri.

Saranan itu dibuat selepas KRW yang melakukan penampilan sulung dalam Liga Super musim 2026/27 bolos 18 gol dalam tiga perlawanan pertamanya.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!