Kelantan City Sasar Kedudukan Kedua Liga A1 Musim Ini

Kelantan City meletakkan sasaran menduduki tempat kedua dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/27 yang dijadualkan membuka tirai pada penghujung bulan ini.

Menurut laporan Harian Metro, Presiden Kelantan City, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan sasaran tersebut sebagai realistik berdasarkan kehadiran barisan pemain dan pengurusan berpengalaman dalam pasukan itu.

Kelantan City mahu membentuk sebuah pasukan yang benar-benar kuat, termasuk menyimpan impian untuk menjinakkan dua gergasi bola sepak negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

Bagaimanapun, kelab itu tidak mahu terburu-buru mengejar tempat dalam Liga Super. Tumpuan ketika ini adalah membina pasukan yang mampu memberikan saingan dalam setiap perlawanan.

“Kami nak bina pasukan daripada bawah, biar mantap, kami tak mahu jadi punching bag lawan, kena berada di Liga A1 sekurang-kurangnya dua tahun.

“Berada di Liga Super, kewangan kena bagus, permainan kena bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Kelantan City oleh PUC serta pengenalan penaja dan rakan strategik di Hotel Perdana.

Turut hadir ialah Pengurus Pasukan Kelantan City FC, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah dan Ketua Jurulatih, Alfredo Gonzalez.

Mahu lahirkan bintang baharu

Annuar turut meminta barisan kejurulatihan memberikan penekanan terhadap peningkatan kualiti individu pemain.

Pendekatan itu diharapkan dapat membantu Kelantan City melahirkan bintang baharu yang mampu menjadi tonggak pasukan pada masa hadapan.

Bagi menghadapi musim baharu, Kelantan City memperkuatkan pasukan dengan merekrut beberapa pemain berpengalaman termasuk Muhammad Hadin Azman, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan Nazrin Nawi.

Pasukan itu turut memperkenalkan jersi berwarna merah dan hitam serta edisi istimewa berwarna biru untuk saingan musim ini.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!