Dua Rakyat Malaysia Ditahan di Sungai Golok, Polis Temukan 1,560 Pil Epam

Dua rakyat Malaysia dari Kelantan ditahan polis Thailand selepas pihak berkuasa menemukan 1,560 biji pil Epam atau Nitrazepam yang dipercayai berada dalam milikan mereka di Sungai Kolok, Narathiwat.

Menurut laporan Bernama, kedua-dua suspek berusia 24 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam Khamis di hadapan sebuah restoran di Jalan Anukachart Usorn, pekan Sungai Golok.

Ketua Polis Sungai Kolok, Kolonel Thun Sirikhunt berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan pihak berkuasa dan maklumat yang diterima daripada orang awam.

Pil berkenaan ditemukan dalam 39 pek lepuh dengan setiap pek mengandungi 40 tablet, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 1,560 biji.

Dadah yang dikategorikan sebagai bahan psikotropik Kategori 2 itu dianggarkan bernilai 10,608 Baht atau kira-kira RM1,309 berdasarkan kadar pertukaran yang dinyatakan.

Menurut Thun, kedua-dua suspek kini disiasat atas kesalahan memiliki bahan psikotropik Kategori 2 bagi tujuan penjualan tanpa kebenaran.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi 20,000 Baht, bersamaan kira-kira RM2,468, atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!