TUMPAT, 20 Ogos 2026 – Impian seorang pelajar cemerlang yang sebelum ini berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke menara gading akhirnya tercapai apabila Lovely Sabana menerima bantuan menerusi program Ziarah Prihatin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hari ini.
Lovely Sabana, bakal pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, sebelum ini mendapat perhatian selepas kisah kesempitan hidup dan kekangan kewangannya tular di media sosial, sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai kemampuannya untuk mendaftar sebagai mahasiswa universiti itu bagi sesi akademik 2026/2027.
Keprihatinan pelbagai pihak terhadap situasi yang dihadapi pelajar berkenaan diteruskan menerusi kunjungan Ziarah Prihatin UPSI bersama KPT di sekitar Tumpat dan Pasir Mas, Kelantan, yang turut menyantuni dua lagi bakal pelajar yang memerlukan bantuan.
Menerusi program itu, Lovely bersama Siti Nurdianis Nordin, bakal pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, serta Muhamad Ilias Danish, bakal pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi, masing-masing menerima sumbangan RM1,500 bagi membantu persediaan
awal sebelum mendaftar di UPSI.
Daripada jumlah itu, RM500 disumbangkan Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat & Sedekah (WEZAS) UPSI, manakala RM1,000 lagi disalurkan Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Hirman Awang berkata bantuan berkenaan membuktikan komitmen kementerian dalam memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada golongan berpotensi untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
“Yayasan Perkasa Siswa (YPS) sentiasa bersedia menjadi ‘tentera barisan hadapan’ dalam menjaga kebajikan mahasiswa. Sumbangan RM1,000 kepada setiap pelajar ini diharap dapat menyuntik semangat dan menyelesaikan sebahagian keperluan asas serta yuran pendaftaran mereka sebelum mendaftar di kampus,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata universiti sentiasa peka terhadap kesusahan yang dihadapi bakal mahasiswa, khususnya mereka daripada keluarga yang berdepan kekangan kewangan.
“Pihak UPSI melalui JHEPA dan WEZAS sentiasa proaktif mengesan pelajar yang memerlukan bantuan awal. Inisiatif turun padang ini bukan sekadar memberi bantuan kewangan, malah memastikan mereka tahu bahawa UPSI sentiasa ada untuk menyokong perjalanan akademik mereka dari hari pertama lagi,” katanya.
Siti Nurdianis pula dibesarkan dalam keluarga berpendapatan tidak menentu dengan ibunya bergantung kepada pendapatan harian, manakala Muhamad Ilias kehilangan tempat bergantung selepas kematian bapanya dan kini membantu ibunya menyara keluarga.
Program berkenaan merupakan kerjasama strategik UPSI, YPS dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), KPT dalam memastikan kebajikan bakal mahasiswa terus diberi perhatian serta mengelakkan golongan yang memerlukan tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian.
Turut hadir Pengarah WEZAS UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif.
Oleh: Bazli Razak - BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI
