Seorang ibu di Pasir Puteh buntu memikirkan kos menyediakan susu khas berjumlah kira-kira RM2,000 sebulan untuk bayinya yang menghidap sindrom Treacher Collins (TCS) sejak lahir.
Menurut laporan Kosmo, Nur Azlina Bohore, 29, mula berasa tidak keruan setiap kali bekalan susu khas anaknya, Hayyan Rifqi Abdul Hanif yang berusia enam bulan hampir habis.
Hayyan Rifqi perlu diberikan susu melalui tiub setiap tiga jam. Bayi itu turut memerlukan beberapa jenis susu dan sumber nutrisi khas termasuk Carborie, Infatrini, ActivMax, Dupro serta minyak MCT mengikut sukatan tertentu.
“Kos susu formula sahaja mencecah RM2,000 sebulan. Jumlah itu tidak termasuk pembelian tiub trakeostomi, tiub sedutan dan pelbagai peralatan perubatan lain. Tiub trakeostomi yang berharga RM385 pula perlu diganti secara berkala.
“Pakar turut mencadangkan penggunaan alat bantu pendengaran jenis Bone Conduction Adhear berharga lebih RM7,000 bagi membantu perkembangan pendengaran dan pertuturan anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Besar, Pasir Puteh.
Pembedahan lelangit belum dapat dilakukan
Nur Azlina berkata, Hayyan Rifqi dilahirkan dengan berat 2.3 kilogram dan kini hanya mempunyai berat 3.9 kilogram.
Keadaan itu menyebabkan proses pembedahan rekahan lelangit bayi berkenaan terpaksa dilambatkan.
Hayyan Rifqi memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa sehingga Nur Azlina tidak dapat bekerja.
Dia juga perlu membawa anaknya ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk rawatan susulan.
Suaminya, Abdul Hanif Abdul Ghani, 35, bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan.
Pendapatan itu turut digunakan untuk menanggung tiga lagi anak mereka yang berusia antara lima hingga sembilan tahun.
“Saya turut memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nur Azlina di talian 017-971 7739 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB miliknya bernombor 7053905497.
Sumber: Kosmo
