Kejayaan Lovely Sabana Augustine memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menjadi lebih bermakna apabila impiannya untuk melanjutkan pengajian mendapat perhatian pelbagai pihak.
Pelajar cemerlang dari Tumpat itu bakal menerima bantuan RM1,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Yayasan Pelajaran MARA bagi membuat persiapan mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bulan depan.
BACA: Tekad Ubah Nasib Keluarga, Lovely Sabana Raih PNGK 4.0 STPM
Menurut laporan Berita Harian, Lovely Sabana yang berketurunan Kadazan-Siam ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan Moral di UPSI, namun keluarganya berdepan masalah kewangan untuk menyediakan yuran pendaftaran dan kelengkapan universiti.
Kisahnya mula tular di media sosial selepas kesusahan yang dihadapi keluarga pelajar tersebut mendapat perhatian orang ramai.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ramai pihak menghubunginya untuk memaklumkan mengenai keadaan Lovely Sabana.
“Adik Lovely datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Ibunya bekerja sebagai tukang cuci sekolah dan mengambil kerja sambilan sebagai anggota RELA menjaga masjid pada hari Jumaat dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.
“Apa lebih membanggakan beliau mendapat PNGK 4.0 di dalam STPM walaupun hidup dalam serba kekurangan.
“Saya sudah menghubungi Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff untuk membantu dan alhamdulillah pihak UPSI bersetuju memberikan pelepasan khas berkaitan yuran bagi membantu meringankan beban adik Lovely.
“Insya-Allah, MARA melalui Yayasan Pelajaran MARA akan membantu RM1,000 sebagai wang persiapan. Saya juga turut menghulurkan sedikit sumbangan peribadi,” katanya menerusi media sosial.
Bakal Mendaftar pada 13 September
Lovely Sabana dijadualkan mendaftar di UPSI pada 13 September depan bagi memulakan pengajian dan mengejar impiannya untuk menjadi seorang pendidik.
Selain memerlukan wang bagi membayar pendaftaran, pelajar yang kehilangan bapanya itu turut memerlukan komputer riba serta kelengkapan lain sebagai persediaan memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.
Asyraf Wajdi berharap bantuan yang disalurkan dapat menjadi pembuka jalan kepada Lovely Sabana untuk meneruskan pengajian, mencapai cita-cita dan mengubah kehidupan keluarganya apabila berjaya kelak.
Sumber: Berita Harian
