Projek Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) Badang di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) kini siap sepenuhnya selepas memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance, CCC).
Menurut kenyataan Kerajaan Negeri Kelantan, projek perumahan berbilang tingkat itu kini mencapai 100 peratus kemajuan fizikal dan bersedia untuk memasuki fasa seterusnya.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan tiga blok apartmen setinggi 10 dan 11 tingkat yang menawarkan sebanyak 344 unit kediaman.
Katanya, rumah yang disediakan meliputi unit jenis A, B dan C dengan harga jualan dicadangkan antara RM45,000 hingga RM130,000.
“Selain menyediakan kediaman yang selesa dan mampu dimiliki, projek ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti surau, dewan serba guna, tadika, pejabat pengurusan, sembilan unit gerai serta enam unit kedai bagi memenuhi keperluan komuniti setempat,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek itu.
Lengkap Dengan Pelbagai Kemudahan
Projek bernilai RM26 juta itu dibina oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKNIK) selaku kontraktor utama dengan pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Menurut Hilmi, aspek kemudahan turut diberi perhatian menerusi penyediaan parkir bertutup di tingkat bawah setiap blok.
Selain itu, projek tersebut menyediakan 360 petak parkir terbuka untuk kereta, 92 petak parkir motosikal serta sembilan petak parkir khas untuk orang kurang upaya (OKU).
RMMK Akan Diperluaskan Ke Semua Daerah
Hilmi berkata, kerajaan negeri kini sedang mengenal pasti tapak yang sesuai bagi membangunkan projek RMMK di setiap daerah di Kelantan.
Langkah itu bertujuan memperluaskan peluang pemilikan rumah mampu milik kepada lebih ramai rakyat, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap kediaman mampu milik di negeri ini.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Izani Husin dan Ketua Eksekutif PKNIK, Datuk Zamri Ismail.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
