Sebuah keluarga merayu bantuan orang ramai untuk mengesan Puan Sabariah Ahmad, 69, yang masih belum ditemukan selepas disedari hilang dari rumahnya di Taman Desa Permai, Port Dickson pada 15 Ogos.
Selepas sudah 48 jam berlalu namun keluarga masih belum memperoleh sebarang petunjuk mengenai keberadaan wanita berkenaan.
Bunyi Memasak Kedengaran pada Jam 8 Pagi
Berdasarkan kronologi yang dikongsikan keluarga, pada kira-kira jam 8 pagi, anak saudara Puan Sabariah terdengar bunyi seperti seseorang sedang memasak di dapur.
Anak saudaranya menyangka Puan Sabariah sedang memasak seperti biasa sebelum kembali meneruskan urusan.
Bagaimanapun, kira-kira jam 12 tengah hari selepas bangun tidur, anak saudaranya mendapati wanita berkenaan sudah tiada di rumah.
Cubaan menghubungi Puan Sabariah melalui telefon turut gagal apabila telefon bimbitnya didapati telah dimatikan.
Pada petang hari sama, Puan Sabariah sebenarnya mempunyai rancangan untuk ke Damansara bersama anak saudaranya dengan menaiki kereta. Namun, sebelum rancangan itu dapat dilaksanakan, beliau sudah tiada di rumah.
Laporan Polis Dibuat
Sehingga kira-kira jam 6 petang, Puan Sabariah masih belum pulang dan tidak dapat dihubungi.
Selepas dinasihatkan supaya membuat laporan polis, anak saudara wanita itu kemudian bersiap untuk ke balai polis. Ketika itu, anak Puan Sabariah dan suaminya masih berada di Kuala Lumpur kerana sedang menguruskan sebuah majlis.
Laporan polis mengenai kehilangan Puan Sabariah dibuat kira-kira jam 6.20 petang pada hari sama.
Puan Sabariah tinggal di Taman Desa Permai, Port Dickson bersama cucu perempuannya dan seorang anak angkat lelaki yang juga merupakan anak saudara beliau.
Tidak Pernah Keluar Bersendirian
Menurut keluarga, Puan Sabariah tidak mengalami penyakit lupa atau masalah ingatan. Beliau berada dalam keadaan sihat dan masih cergas, namun mempunyai sedikit masalah sakit lutut yang menyebabkan beliau tidak mampu berjalan terlalu jauh.
Wanita itu juga dikatakan tidak pernah keluar bersendirian. Kebiasaannya, beliau akan ditemani anak saudara atau rakan terdekat sekiranya mahu keluar.
Pemeriksaan keluarga turut mendapati tiada beg pakaian dibawa bersamanya. Mereka percaya Puan Sabariah keluar dari rumah tanpa merancang untuk bermalam di mana-mana.
Ketika kali terakhir dilihat, Puan Sabariah dipercayai membawa sebuah beg tangan berwarna hijau.
Keluarga Rayu Orang Ramai Sebarkan Hebahan
Keluarga masih meneruskan usaha pencarian dan berharap orang ramai dapat membantu menyebarkan maklumat kehilangan Puan Sabariah.
“Saya mohon jasa baik semua untuk terus bantu sebarkan dan viralkan info kehilangan mak saya. Tolong tag mana-mana group besar, NGO, komuniti setempat, pihak berkaitan, influencers atau sesiapa sahaja yang mungkin boleh membantu meluaskan usaha pencarian ini.
“Setiap satu perkongsian sangat bermakna buat kami. Mungkin daripada satu share, ada seseorang di luar sana yang pernah terlihat atau mempunyai maklumat tentang keberadaan mak saya.
“Mohon terus bantu kami mencari mak. Terima kasih sangat-sangat kepada semua yang masih membantu, mendoakan dan menyebarkan,” rayu anaknya.
Orang ramai yang pernah melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Puan Sabariah diminta menghubungi keluarga di talian 018-9804438 atau 018-3677855 dengan segera.
