Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang masih di bawah umur.
Tertuduh, Nik Mohd Zaini Nik Zulkepeli, 39, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang ketika itu berusia 13 tahun dua bulan di sebuah kebun getah di Tanah Merah pada jam 10 malam, 28 Ogos 2025.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa ketika berusia 13 tahun 11 bulan di lorong sebuah kampung di Tanah Merah pada jam 3.50 pagi, 25 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama ketika berusia 14 tahun satu bulan pada 26 Jun dan 30 Jun lalu antara jam 8.30 malam hingga 10 malam di sebuah kebun getah.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan telah insaf atas perbuatannya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal kerana mangsa merupakan anak kandung tertuduh sendiri yang sepatutnya dilindungi.
"Tertuduh turut memanipulasi mangsa dengan perbuatan jijik itu kononnya untuk mengubati mangsa menjadi insan lebih baik," kata Timbalan Pendakwa Raya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan hukuman 24 tahun penjara dan 12 sebatan.
Hukuman tersebut diperintahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Julai lalu.
Sumber: Harian Metro
