Semangat masyarakat Kelantan yang mengutamakan pendidikan sejak dahulu menjadi antara faktor utama negeri itu terus melahirkan ramai golongan profesional serta pegawai kanan di peringkat Persekutuan.
Menurut laporan Media Point, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sejarah membuktikan ramai ibu bapa di negeri ini sanggup berkorban, termasuk menjual tanah, semata-mata untuk memastikan anak-anak dapat melanjutkan pelajaran.
Menurut beliau, pengorbanan itu lahir daripada kesedaran bahawa pendidikan merupakan jalan terbaik untuk mengubah kehidupan generasi seterusnya.
"Orang Kelantan ini, ibu bapa sanggup jual tanah untuk hantar anak mengaji. Mereka sanggup hidup susah kerana tidak mahu generasi kemudian mewarisi kesusahan yang mereka alami," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan 2025 di Kompleks Kota Darulnaim, Ahad.
Budaya Pendidikan Terus Dipertahankan
Beliau berkata, kesedaran masyarakat Kelantan terhadap kepentingan pendidikan telah lama menjadi budaya yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Menurutnya, semangat itu turut menyumbang kepada lahirnya ramai anak Kelantan yang berjaya menyandang jawatan penting dalam perkhidmatan awam negara.
Dalam majlis sama, seramai 1,494 pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM, STAM dan STPM tahun 2025 menerima Anugerah Kecemerlangan dengan peruntukan keseluruhan RM747,000 daripada Kerajaan Negeri.
Beliau berharap tradisi mengutamakan pendidikan yang menjadi identiti masyarakat Kelantan dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai generasi berilmu, berakhlak serta mampu menyumbang kepada pembangunan agama, negeri dan negara.
Sumber: Media Point
SHARE:
