Aliff Rakib Hadiahkan Ibu Bapa Rumah RM1 Juta, Bakal Kahwini Gadis Thailand

Juara dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib membuat kejutan apabila menghadiahkan sebuah rumah bernilai RM1 juta kepada ibu bapanya.

Pengumuman itu dibuat oleh jaguh Muay Thai berusia 22 tahun tersebut ketika berlangsungnya Majlis Sambutan Wira Kelantan di Lembah Sireh, Kota Bharu pada Sabtu.

Menurut laporan Sinar Harian, ibu bapanya, Rakib Ahmad, 52, dan Suriawati Che Wook, 46, tidak dapat menahan sebak selepas mendengar pengumuman berkenaan.

Kedua-duanya mengalirkan air mata sebelum berpelukan dengan anak mereka di atas pentas.

Hasil Pendapatan Sebagai Jaguh Muay Thai

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, rumah tersebut dibeli menggunakan wang simpanannya sendiri hasil pendapatan yang dikumpulkan sepanjang bergiat aktif dalam sukan Muay Thai.

“Ini adalah duit yang saya simpan sendiri. Alhamdulillah dengan berkat doa ibu ayah, saya boleh sampai ke tahap ini.

“Saya ingin membanggakan mereka. Selain hadiah rumah, saya juga akan membawa kedua ibu bapa menunaikan umrah,” katanya dalam sidang akhbar.

Pengumuman tersebut menjadi antara detik paling menyentuh hati dalam majlis yang diadakan bagi meraikan kejayaan anak jati Kelantan itu di pentas antarabangsa.

Disambut Lebih 2,000 Rakyat Kelantan

Aliff Rakib diraikan oleh lebih 2,000 rakyat Kelantan menerusi sambutan yang berlangsung hampir dua jam.

Beliau turut dibawa dalam perarakan berkuda yang diserikan dengan persembahan kebudayaan serta kibaran Jalur Gemilang, bendera Kelantan dan bendera yang memaparkan namanya.

Majlis tersebut dianjurkan oleh pengasas kosmetik dan pengusaha restoran, Fara Sharina Zamari atau lebih dikenali sebagai JLFara.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad.

Tewaskan Legenda Muay Thai

Aliff Rakib sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul juara dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship.

Beliau menewaskan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan TKO pada pusingan kelima dalam aksi The Inner Circle 23 di Stadium Lumpinee, Bangkok.

Jaguh kelahiran Kelantan itu mempamerkan aksi penuh yakin dan berdisiplin sebelum memastikan kemenangan menerusi penyudah pada pusingan terakhir.

Kejayaan tersebut menyaksikan Aliff Rakib membawa pulang gelaran berprestij dalam kariernya selain mengharumkan nama Kelantan dan Malaysia di pentas dunia.

Bakal Berkahwin dengan Gadis Thailand

Dalam perkembangan sama, Aliff Rakib turut mengumumkan bahawa beliau bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis dari Thailand dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan tarikh perkahwinan atau maklumat lanjut mengenai bakal isterinya.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!