Perarakan gajah di Kota Bharu sempena Hari Malaysia meriah

KOTA BHARU – Dua ekor gajah jinak, Sanum dan Chery, mencuri perhatian pengunjung sempena sambutan Hari Malaysia 2025 yang berlangsung meriah berhampiran Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Lebih 500 pengunjung dari seluruh negeri menyertai perarakan sejauh 1.2 kilometer itu, dengan ramai yang hadir lengkap berbusana tradisional termasuk tanjak, kain pelikat dan sarong, menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Mohamed Safaruddin Ismail, Penyelaras Program dan Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, berkata pemilihan gajah bertujuan mengimbau nostalgia zaman silam apabila haiwan itu digunakan dalam istiadat penting istana.

“Pemilihan gajah ini sempena mengimbau sejarah, di mana setiap peristiwa penting di Istana Balai Besar suatu ketika dahulu diarak menggunakan gajah. Sebagai contoh, pada 1845 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II, istiadat mengarak surat sejabat daripada Raja Siam turut dilakukan melalui perarakan gajah dari Pengkalan Raja Muda di Penambang ke Istana Balai Besar,” katanya.

Beliau menambah, dua ekor gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dibawa dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Malaysia dan Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan. Selepas perarakan, gajah tersebut ditempatkan di pekarangan Istana Balai Besar sehingga petang bagi membolehkan pengunjung swafoto dan melihat haiwan itu lebih dekat.

Seorang pengunjung, Nik Rashidee Nik Hussein, 68, berkata perarakan gajah itu menyerlahkan identiti Kelantan yang kaya dengan warisan budaya.

“Perarakan ini bukan sahaja menarik, tetapi menggambarkan keunikan negeri Kelantan yang sinonim dengan nilai tradisional dan kebudayaan tempatan, sekali gus memupuk keharmonian dalam kalangan pengunjung,” katanya.

Bagi Noorsofea Qistina Abdul Rahman, 35, pengalaman menyaksikan perarakan gajah begitu mengujakan kerana jarang diadakan di negeri ini.

“Saya mengambil peluang melihat perarakan ini bersama anak saya, Thaqif Alaudin, yang berusia tiga tahun. Ia satu pengalaman baharu dan cukup menarik,” katanya.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

[VIDEO] “Hanya Di Kelantan” Masjid Tayang Tazkirah Pada Skrin Gergasi Raih Pujian
|
Tindakan Masjid An-Naim Sri Cemerlang di Kota Bharu menyiarkan…
Kalau Semua Pelakon Kelantan Ini Digabung Dalam Satu Filem, Confirm Meletup!
|
Kalau bercakap tentang pelakon berasal dari Kelantan, industri seni…
Kisah Bekas Bintang Filem Dewasa Dari Jepun Memeluk Islam Selepas Lawatan Ke Malaysia
|
Nama Kae Asakura atau lebih dikenali sebagai Rae Lil…
APM Ambil Masa Lebih 5 Jam Pindahkan Pesakit Obesiti 180kg Di Pasir Mas
|
Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa lebih lima jam…
Pilihan Raya Negeri SG4 Dijangka Diadakan Serentak Dengan PRU16
|
Empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu Kelantan,…
200 Unit Vape Bernilai RM20,000 Dirampas Di Tepi Sungai Golok
|
Cubaan menyeludup 200 unit peranti vape ke Thailand gagal…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!