Seorang lelaki berusia 34 tahun diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai menjadikan sebuah bangsal terpencil di kawasan semak sebagai lokasi penjualan dadah di Kampung Longgel, Lemal, Pasir Mas.
Suspek ditahan dalam serbuan Op Taring Wawasan pada Isnin bersama 600 biji pil yaba yang dianggarkan bernilai sekitar RM6,000, sebelum nilai keseluruhan rampasan termasuk telefon bimbit mencecah kira-kira RM7,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi dijalankan oleh anggota Risik dan Pasukan Petugas Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Pasir Mas.
Menurutnya, anggota membuat pemerhatian kira-kira sejam sebelum melihat seorang lelaki datang dari jalan besar menuju ke bangsal berkenaan.
“Lelaki itu dilihat membuka pintu bangsal yang diikat dengan dawai sebelum anggota bertindak menyerbu dan menahannya,” katanya.
Hasil pemeriksaan awal di beberapa lokasi yang ditunjukkan suspek tidak menemui sebarang barang terlarang. Bagaimanapun, selepas siasatan lanjut, suspek mengaku dadah disimpan di atas bangsal tersebut sebelum membawa anggota ke lokasi simpanan.
Pemeriksaan menemukan 600 biji pil yaba bersama sebuah telefon bimbit.
Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak 14 tahun lalu dan aktif sebagai pengedar sejak tiga tahun lalu.
Beliau turut mendakwa menerima bekalan daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Oli’ dengan kira-kira 100 biji pil yaba dibekalkan setiap hari untuk dijual pada harga RM10 sebiji, selain memperoleh upah sekitar RM100 sehari.
Ujian saringan air kencing pula mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
