Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kehilangan dua sepupu remaja perempuan dari Kampung Baloh, berhampiran Kok Lanas, yang ditemui selamat di Machang semalam selepas dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, kesemua suspek ditahan di Machang pada petang semalam.
Menurut beliau, polis turut memperoleh perintah reman terhadap kelima-lima suspek di Mahkamah Majistret Machang pagi tadi bagi membantu siasatan lanjut.
"Dua daripada suspek direman selama lima hari, manakala tiga lagi yang merupakan rakan kepada dua suspek utama direman selama dua hari," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ditemui Di Sebuah Inap Desa
Dua remaja terbabit iaitu Nor Syahzanani Mohd Sulaiman, 15, dan Nur Kaseh Nalisya Mohd Ramzul Nazrie, 16, ditemui di sebuah inap desa di Machang, kira-kira 25 kilometer dari rumah mereka.
Sebelum ini, keluarga kedua-dua remaja berkenaan membuat laporan polis secara berasingan pada Jumaat selepas mereka gagal pulang ke rumah selepas keluar bersiar-siar di Kota Bharu pada petang Khamis.
Selepas ditemui, kedua-dua remaja itu dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tersebut.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
