MACHANG – Terpaksa menyara enam anak yang masih bersekolah selain menanggung kos rawatan suami yang menghidap kanser usus tahap empat, seorang suri rumah di Kampung Cherang, Pulai Chondong, hidup dalam kesempitan apabila hanya bergantung kepada pendapatan kecil menjual kuih dan kek.
Menurut laporan Harian Metro, Siti Ruhayu Razi, 39, berkata sejak suaminya, Mohd Nazri Abdullah, 57, tidak lagi mampu bekerja sebagai tukang rumah akibat penyakit itu, beliau memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga demi kelangsungan hidup mereka.
“Walaupun pendapatan daripada jualan hanya sekitar RM500 sebulan, itu menjadi sumber utama untuk menampung keperluan harian, belanja sekolah anak-anak dan kos rawatan suami termasuk stoma beg, susu khas, lampin pakai buang serta ulang-alik ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai,” katanya ketika ditemui di rumah mereka, baru-baru ini.
Keluarga ini turut menerima kunjungan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang diketuai Ketua Unit Media dan Komunikasi, Akidi Hamid yang hadir menyantuni serta bertanya khabar.
Kesusahan mereka juga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Azhar Salleh yang menziarahi keluarga berkenaan sambil menyampaikan wang zakat dan barang keperluan asas bagi meringankan beban ditanggung.
Ibu kepada enam anak berusia antara setahun hingga 20 tahun itu berkata, suaminya mula berdepan masalah kesihatan sejak awal tahun ini, namun hanya disahkan menghidap kanser usus tahap empat selepas menjalani pemeriksaan di HSIP bulan lalu.
“Sejak itu, suami menjadi cepat letih dan perlu memakai stoma beg. Kini, dia sedang menunggu keputusan rawatan kemoterapi yang akan dijalankan di HSIP,” katanya.
Menurutnya, beliau memerlukan sekitar RM1,000 sebulan bagi menampung kos rawatan dan penjagaan, termasuk stoma beg yang perlu ditukar dua kali sehari, susu khas berharga RM73 setin yang hanya bertahan sehari setengah, serta lampin pakai buang.
“Kami tidak menerima sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai serta individu yang datang menziarahi suami,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 0304 5024 6641 69 atas nama Siti Ruhayu Razi atau menghubunginya di talian 019-9902025.
#KelantanDaily
Sumber: Harian Metro
