Lima Premis Makanan Di Machang Gagal Patuhi Piawaian Kebersihan Diarah Tutup

Lima premis makanan di Machang diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan pihak berkuasa kesihatan.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, tindakan penutupan itu diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, dan pemilik premis yang ingkar arahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Operasi bersepadu libatkan 71 petugas kesihatan

Menurut beliau, tindakan tersebut adalah hasil Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 03/2026 yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan pada 21 April lalu.

Operasi itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan peraturan serta mencegah penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, tifoid dan kolera.

Sebanyak 47 premis makanan termasuk kedai makan dan restoran diperiksa dalam operasi tersebut, melibatkan seramai 71 petugas kesihatan.

Pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar Machang

Dr Mohd Azman berkata, pemeriksaan tertumpu di sekitar Bandar Machang, Pulai Chondong, Labok, Batu 30, Jalan Tanah Merah dan Jalan Pangkal Meleret.

Selain arahan penutupan, sebanyak 61 notis tawaran kompaun turut dikeluarkan membabitkan jumlah RM12,250 atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Kesalahan pakaian pengendali makanan paling banyak

Katanya, kesalahan paling banyak direkodkan adalah kegagalan mematuhi keperluan pakaian pengendali makanan, dengan 46 notis kompaun dikeluarkan berjumlah RM4,600.

Kesalahan lain termasuk membenarkan pekerja yang tidak menerima suntikan vaksin atau tidak menjalani latihan pengendalian makanan, selain kegagalan memastikan premis sentiasa bersih.

“Pemilik dan pengendali bertanggungjawab memastikan tahap kebersihan premis sentiasa dipatuhi. Mereka akan diberi bimbingan untuk penambahbaikan, namun arahan penutupan tetap dikenakan sekiranya masih gagal mematuhi pada pemeriksaan susulan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai khususnya di Machang dan seluruh Kelantan agar lebih peka serta memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Stephen Chow Kembali Dengan “Kung Fu Soccer” Julai Ini
|
Pengarah dan pelakon terkenal Hong Kong, Stephen Chow dilaporkan…
Bangladesh Tolak Permintaan PBB Sedia Lebih Banyak Tanah Untuk Pelarian Rohingya
|
Bangladesh menolak permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan…
KRW Sertai Piala FA Golok, 64 Pasukan Dari Malaysia Dan Thailand Bakal Berentap
|
Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) menerima jemputan menyertai kejohanan…
Majlis Daerah Ketereh Baiki Bacaan Surah Dan Solat Kakitangan
|
Majlis Daerah Ketereh - Perbandaran Islam (MDKPI) menganjurkan Program…
Bomba Dedah Punca Kebakaran 27 Rumah Di Gok Kapur
|
Kebakaran yang memusnahkan 27 rumah di Kampung Gok Kapur…
Kerajaan Kelantan Tidak Iktiraf Pelantikan Ketua Rohingya Di Setiap Daerah
|
Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa pihaknya tidak mengiktiraf pelantikan ketua…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!