Seorang pembantu kedai mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dua pertuduhan menetak bapanya menggunakan parang serta membakar sebuah kereta dan motosikal minggu lalu.
Tertuduh, Wan Saiful Wan Animebusu, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki tersebut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bapanya, Wan Animebusu Wan Yusoff, 59, menggunakan sebilah parang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Wakaf, Pasir Puteh kira-kira jam 6.30 petang pada 1 Jun lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 26A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua kerana melakukan khianat dengan api menggunakan petrol.
Dia didakwa membakar sebuah kereta Proton Satria Neo dan sebuah motosikal Honda C70 sehingga menyebabkan pemilik kenderaan mengalami kerugian sebanyak RM7,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan satu tarikh baharu bagi prosiding penyerahan barang kes dan jatuh hukum.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk prosiding jatuh hukum.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
