Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membincangkan langkah mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi bagi membantu penduduk kawasan sempadan yang terjejas susulan tindakan menutup dan merobohkan jeti haram di sepanjang Sungai Golok.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, perkara itu akan menjadi antara fokus utama dalam Mesyuarat Keselamatan Negeri Kelantan yang dijadual berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim.
Bukan Sekadar Penguatkuasaan
Menurut beliau, kerajaan mengambil serius isu jeti haram yang dikenal pasti sebagai ancaman keselamatan negara, khususnya melibatkan aktiviti penyeludupan rentas sempadan termasuk bahan api bersubsidi.
“Kerajaan Persekutuan dengan bantuan kerajaan negeri memberi penekanan terhadap isu jeti haram kerana ia merupakan ancaman kepada keselamatan negara.
“Pada masa sama, kami juga memberi perhatian kepada pembangunan kawasan sempadan dengan mewujudkan aktiviti ekonomi untuk masyarakat tempatan yang terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesepaduan Nasional@Tumpat di Wat Machimmaram.
Kebajikan Penduduk Turut Diberi Perhatian
Menurut Raja Nushirwan, kerajaan perlu berlaku adil kepada penduduk yang bergantung kepada aktiviti ekonomi di kawasan sempadan untuk menyara kehidupan.
Katanya, pendekatan yang diambil bukan hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan, malah turut mengambil kira kebajikan serta sumber pendapatan masyarakat yang terjejas.
“Kami mahu membantu mereka yang terkesan dan perkara ini akan dibincangkan secara lebih mendalam bersama kerajaan negeri,” katanya.
91 Jeti Haram Sudah Dirobohkan
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak 91 jeti haram yang dibina di atas tanah kerajaan telah selesai dirobohkan sejak operasi bermula pada 29 April lalu.
Menurutnya, sebanyak 216 jeti dikenal pasti di kawasan sempadan, namun sebahagiannya berada di atas tanah milik persendirian.
Bagi jeti yang dibina di atas tanah kerajaan, operasi perobohan telah selesai dilaksanakan, manakala beberapa jeti di tanah persendirian masih diteliti mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur berkaitan.
Katanya, penelitian itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian.
Cegah Ketirisan Dan Penyeludupan
Tambah beliau, usaha membanteras penyeludupan akan terus menjadi keutamaan kerajaan, terutama ketika negara berdepan cabaran geopolitik semasa yang boleh memberi kesan kepada bekalan serta ketirisan bahan api bersubsidi.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
