KUALA LUMPUR – Cadangan menyambung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu atau Pengkalan Kubor ke Rantau Panjang dijangka menelan kos antara RM1.3 bilion hingga RM1.9 bilion, dengan anggaran pertengahan sekitar RM1.6 bilion.
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata anggaran itu dibuat berdasarkan kos asas projek ECRL sedia ada bernilai RM74 bilion untuk jajaran sepanjang 665 kilometer, iaitu kira-kira RM111 juta setiap kilometer.
Namun katanya, sambungan baharu sepanjang 20 hingga 25 kilometer itu dijangka lebih murah berikutan beberapa faktor penjimatan termasuk penggunaan koridor sedia ada yang meminimumkan pengambilan tanah, kesinambungan dengan kontraktor utama, China Communications Construction Company (CCCC), serta potensi pembiayaan lebih fleksibel melalui kerjasama dengan China.
“Walaupun masih pada peringkat cadangan, kerajaan yakin sambungan ke Rantau Panjang boleh direalisasikan dengan kos yang lebih terkawal berbanding jajaran utama,” katanya ketika dihubungi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini turut memaklumkan bahawa cadangan melanjutkan projek ECRL ke Rantau Panjang masih dalam perbincangan awal. Katanya, pasukan terlibat perlu meneliti kos, butiran teknikal dan kaedah pembayaran.
“Kerana ia adalah sambungan daripada projek sedia ada, kemungkinan besar kosnya jauh lebih rendah,” katanya kepada media Malaysia ketika sidang akhbar di Beijing selepas lawatan empat hari ke China.
Anwar turut membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat dua hala bersama Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Qiang.
Samirul menambah, cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang mampu membuka dimensi strategik baharu, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga logistik negara.
“Terletak bersebelahan Sungai Kolok, bandar kereta api di selatan Thailand, sambungan itu dijangka menghubungkan kebolehoperasian kargo dengan grid rel Thailand. Malah, ia juga membuka peluang integrasi masa depan dengan Rangkaian Rel Pan-Asia yang menghubungkan China–Laos–Thailand–Malaysia–Singapura,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kehadiran stesen ECRL di Rantau Panjang berpotensi menghidupkan semula pekan sempadan itu sebagai pusat perdagangan, selain menarik pelaburan dalam sektor logistik dan pelancongan.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata sambungan tersebut juga bakal melonjakkan ekonomi Kelantan dengan merancakkan semula aktiviti perdagangan di Pelabuhan Tok Bali yang menjadi pintu masuk ke pasaran IndoChina.
“Pada masa sama, ia melengkapkan rantaian bekalan dengan sokongan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang kini antara lapangan terbang paling sibuk di Semenanjung,” katanya.
#KelantanDaily
Sumber: Berita Harian
