Balai Bomba Rantau Panjang dipindah ke lokasi baharu, elak banjir

RANTAU PANJANGBalai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih strategik dan bebas daripada risiko banjir bagi memastikan operasi penyelamatan di kawasan sempadan tidak terganggu ketika musim tengkujuh.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi, berkata peruntukan berjumlah RM3 juta telah diluluskan bagi kerja awal perolehan tanah, kajian kesesuaian serta rawatan tapak di bawah Rolling Plan pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula tahun hadapan.

“Kerajaan dan JBPM kekal dengan prinsip bahawa balai bomba mesti berada di lokasi paling selamat, orang yang menyelamat mesti dahulu selamat.

Rantau Panjang dikenal pasti sebagai antara kawasan ‘hotspot’ banjir, dan langkah pemindahan ini penting bagi menjamin kelancaran operasi,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke BBP Pengkalan Kubor, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Kelantan, Farhan Sufyan Borhan.

Menurut Nordin, lokasi sedia ada BBP Rantau Panjang sering terjejas setiap tahun akibat banjir dan laluan utama yang terputus, menyebabkan pergerakan anggota penyelamat ke kawasan sekitar sukar dilakukan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan JBPM telah mengambil langkah kesiapsiagaan sepenuhnya bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda dalam masa terdekat.

“Semua aset dan jentera diarahkan ditempatkan di kawasan tinggi sekiranya paras air meningkat.

Bilik kawalan utama juga telah dinaikkan ke tingkat atas bagi memastikan operasi 24 jam tidak terjejas walaupun ketika banjir,” jelasnya.

Tambahnya, pemilihan lokasi baharu nanti akan mengambil kira akses ke jalan utama, faktor keselamatan dan kesesuaian geografi mengikut piawaian pembinaan balai bomba di seluruh negara.



Selain Rantau Panjang, katanya, JBPM turut melaksanakan langkah serupa di Beaufort, Sabah, apabila memindahkan balai bomba ke kawasan lebih tinggi selepas sering dilanda banjir setiap tahun.

#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Uganda Dakwa Sedia Gerakkan 500,000 Tentera Untuk Tawan Iran
|
Ketua tentera Uganda, Jeneral Muhoozi Kainerugaba mencetuskan perhatian antarabangsa…
PGA Rampas 8,000 Pil Yaba Bernilai RM80,000 Di Kebun Sawit Pasir Mas
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 8,000 biji…
Empat Bom Ikan Ditemukan Berhampiran Sempadan Tanah Merah Dimusnahkan
|
Empat objek disyaki bom ikan yang ditemukan berhampiran kawasan…
Iran Bawa Potret Dan Beg Sekolah 165 Murid Terbunuh Terbang Ke Pakistan
|
Tular di media sosial satu hantaran memaparkan ketua delegasi…
Pemilik Restoran Nasi Ulam Cikgu Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Solat Isyak
|
Pemilik perniagaan terkenal Restoran Nasi Ulam Cikgu di Kampung…
Masih Ada “Buat Darat” Berkumpul Di LTSIP, 16 Kenderaan Disita, 171 Saman Dikeluarkan
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan bersama Jabatan Siasatan dan…
Jawatan Kosong Kelantan