Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Alphard dan Perodua Bezza berhampiran stesen minyak Caltex Laloh, Kuala Krai pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Safinaz Razmi, 52, yang menaiki Perodua Bezza dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 7.18 pagi sebelum tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, Toyota Alphard itu membawa enam penumpang termasuk dua kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan.
“Sementara itu, Perodua Bezza pula dinaiki empat penumpang dan seorang wanita disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi cedera,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pasukan bomba turut membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan tersebut.
Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra menggunakan ambulans KKM dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Mayat mangsa pula diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
