KOTA BHARU – Projek penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Fasa 2 terus mencatat perkembangan positif apabila direkodkan mencapai kemajuan 88.95 peratus setakat 23 Ogos 2025, sekali gus mendahului jadual asal sebanyak 0.53 peratus.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, YB Dato' Dr. Izani Husin, berkata projek berkenaan kini berada dua hari lebih awal daripada tempoh asal yang ditetapkan.
“Skop kerja yang telah dicapai meliputi keseluruhan komponen awalan, reka bentuk kejuruteraan serta struktur pembinaan bagi Fasa 1 dan Fasa 2. Pencapaian ini menzahirkan kawalan kualiti serta penyelarasan tapak kerja yang efektif,” katanya ketika dihubungi media.
Struktur utama capai kemajuan
Antara struktur penting yang sudah mencatatkan kemajuan signifikan termasuk Bangunan Terminal Utama (MTB), Transfer Pier, Pusat Bangunan Utiliti, Kompleks VVIP, Bangunan Parkir Bertingkat (MSCP), fasiliti Airport Fire & Rescue Service (AFRS), kawasan parkir berbumbung serta pelbagai kemudahan sokongan lain.
Terminal baharu LTSIP juga bakal dilengkapi dengan lapan (8) unit aerobridge serta tiga (3) open bay bagi meningkatkan kapasiti dan kelancaran operasi pesawat, sekali gus memberi keselesaan tambahan kepada penumpang.
Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan integrasi kerja antara kontraktor utama, perunding kejuruteraan dan pihak pengurusan projek berjaya memastikan jadual kritikal (critical path) dipatuhi.
“Dengan prestasi ini, projek LTSIP berpotensi disiapkan mengikut sasaran. Kita berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan dan agensi terlibat atas kecemerlangan kemajuan ini. Kita juga yakin projek ini akan menambah kapasiti operasi lapangan terbang dan melonjakkan imej Kota Bharu sebagai hab penerbangan utama Pantai Timur,” jelasnya.
Kapasiti empat juta penumpang setahun
Projek naik taraf LTSIP dilaksanakan secara berfasa dengan Fasa 1 telah siap sepenuhnya pada 30 April 2024. Setelah keseluruhan projek selesai, terminal baharu LTSIP akan mampu menampung kapasiti sehingga empat juta penumpang setahun.
Selain itu, pemanjangan landasan sejauh 400 meter menjadikan keseluruhan panjangnya 2,800 meter. Langkah ini membolehkan lapangan terbang tersebut menampung sepenuhnya operasi pesawat Kod 3C seperti Boeing 737-Max dan Airbus 321 Neo yang mampu membuat perjalanan sehingga lima jam.
Dengan penaiktarafan ini, LTSIP bukan sahaja memberi keselesaan kepada penumpang dengan kemudahan moden termasuk 8 aerobridge dan 3 open bay, malah berpotensi mengendalikan penerbangan antarabangsa seperti mana Lapangan Terbang Kuantan dan Ipoh yang kini mempunyai laluan terus ke Singapura.
Impak kepada ekonomi dan pelancongan
Apabila siap sepenuhnya, projek naik taraf LTSIP diyakini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan melalui sektor pelancongan, perdagangan serta pelaburan. Ia juga bakal mengukuhkan kedudukan Kota Bharu sebagai pintu masuk utama ke Pantai Timur.
#KelantanDaily
Sumber: Media Point, Astro Awani, MKN
